Muhammad Ali
Gambar fail AP. Keluarga Muhammad Ali menafikan khabar angin.
PHOENIX - Keluarga legenda tinju, Muhammad Ali menafikan laporan kesihatan beliau semakin merosot selepas komen daripada adiknya mengatakan beliau sedang nazak.

“Beliau dalam keadaan tenat dan sangat sakit,” Rahman Ali memberitahu The Sun semalam.

“Beliau mungkin bertahan beberapa bulan ini, mungkin juga beberapa hari ini tetapi saya tidak tahu sama ada beliau mampu bertahan sehingga musim panas ini, hanya Tuhan saja yang tahu,” ujarnya.

Bagaimanapun Rahman mengakui tidak melawat Muhammad Ali sejak Julai lalu kerana mendakwa isteri bekas peninju dunia ini tidak membenarkannya melawat tetapi hanya membenarkan berkomunikasi menerusi telefon.

Dalam masa beberapa jam selepas itu, anak perempuan Muhammad Ali memberitahu pemberita yang khabar angin itu tidak memberi sebarang kesan terhadap keluarga mereka.

Anaknya kemudian memuat naik gambar terbaru peninju dunia itu di laman sosial Twitternya sedang duduk di kerusi memakai kemeja-T Lewis Ray.

Muhammad Ali sudah lama menghidap Parkinson.

Beliau menyambut ulang tahun kelahiran ke-71 bulan lalu.

Pada 2011, beliau pernah dikejarkan ke hospital selepas jatuh dan tidak sedarkan diri di rumahnya di Arizona.