Barat arah PBB siasat senjata kimia di Syria
Puluhan penduduk Syria dipercayai mengalami keracunan gas selepas serangan di Allepo, Selasa lalu.
NEW YORK - Britain, Perancis dan Amerika Syarikat (AS) mendesak Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa  Bersatu (PBB) menyiasat tuduhan Syria ke atas AS yang didakwa menjadi dalang terhadap serangan senjata kimia dalam konflik di negara itu.

Syria dalam satu kenyataan pula menjawab, PBB diberi kebebasan untuk melakukan siasatan kerana serangan itu dilakukan oleh Tentera Pembebasan Syria (FSA) di Aleppo berhampiran Damsyik.

Menurut AFP, jurucakap PBB, Martin Nesirky berkata, permintaan bertulis daripada negara antarabangsa itu sedang dikaji secara terperinci.

“Kami perlu mengumpulkan fakta jelas terhadap tuduhan itu kerana ia membabitkan banyak pihak termasuk bekas sekutu kuat rejim iaitu Rusia,” katanya.

Sementara itu, Duta PBB Perancis, Gerard Araud berkata, sehingga kini masih tiada bukti kukuh untuk mengaitkan penggunaan senjata itu.

“Tuduhan ini dilihat sebagai satu propaganda bagi mengalih pandangan negara antarabangsa terhadap konflik yang berlaku di Syria,” katanya.

Semalam, majoriti daripada 15 anggota Majlis PBB mendesak Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-Moon untuk melakukan siasatan berhubung perkara itu.

Selasa lalu, sekurang-kurangnya 25 dilaporkan maut manakala lebih 100 orang cedera dipercayai mengalami sesak nafas selepas terkena bedilan roket yang dipercayai mengandungi gas toksik dalam serangan di Aleppo.