Friday, March 22, 2013

Pengganas mengaku diupah

Pengganas mengaku diupah
ANGGOTA polis mengawal rapi ketika pendakwaan kes di Mahkamah Tinggi Tawau, semalam. - Foto NSTP/Mohd Radzi Bujang 8 tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Tawau dengan kawalan ketat

Tawau: Seorang rakyat Filipina memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam dia dibayar untuk menyertai kumpulan pengganas menceroboh Lahad Datu pada awal Februari lalu.

“Saya diminta oleh seseorang dan dibayar. Saya bodoh melakukan perkara ini,” kata Holland Kalbi dalam bahasa Bajau Filipina kepada jurubahasa ketika prosiding memindahkan kes terhadapnya di Mahkamah Tinggi Tawau.
Mohon ikat jamin


Holland yang dipakaikan jaket keselamatan khas berwarna putih dengan tangan bergari, menyatakan demikian ketika memohon dibebaskan dengan jaminan.

Dia dan lima lagi tertuduh, Habil Suhaili, Timhar Hadir, Lin Mad Salleh, Atik Hussin Abu Bakar dan Basad H Manuel, didakwa menjadi anggota pengganas di Kampung Tanjung Labian, Jalan Kastam Lama dan Kampung Tanduo, dalam daerah Lahad Datu, antara 9 Februari dan 4 Mac lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Atik Hussin dan Basad juga masing-masing didakwa dengan satu lagi pertuduhan, iaitu melancarkan peperangan terhadap Yang di-Pertuan Agong di Kampung Tanjung Labian dan di Kampung Tanduo, antara 9 Februari dan 3 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.


Penjara seumur hidup

Dua lagi tertuduh, Kadir Uyung dan Lating Tiong, pula didakwa cuba melindungi sekumpulan orang yang mereka mempunyai sebab untuk mempercayai adalah anggota kumpulan pengganas di Pos Pasukan Gerakan Am (PGA) Tanjung Labian, pada jam 4.30 petang, 4 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, Kadir dan Lating didakwa mengikut Seksyen 130K Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda.

Holland yang mengangguk tanda memahami pertuduhan kemudian diberitahu dia tidak boleh dilepaskan dengan jaminan kerana tuduhan itu termasuk dalam kategori kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Hakim P Ravinthran kemudian menjelaskan pada peringkat ini, tertuduh tidak perlu memberi penjelasan sehingga dia diwakili peguam dan kesnya didengar oleh mahkamah.

Ketika prosiding Atik Hussin menyoal jurubahasa apakah hukuman terhadap dia dan rakan tertuduh lain.

Tertuduh kemudian diberitahu dia berdepan hukuman gantung atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan tetapi mahkamah tidak akan mengambil pengakuannya kerana belum diwakili peguam.

Sementara itu, Habil memberitahu jurubahasa dalam bahasa Suluk: “Saya tidak melakukan semua itu, saya datang ke negara ini pada 6 Februari”.

Timhar turut memberitahu jurubahasa dia datang ke negara ini pada 6 Februari menggunakan pasport antarabangsa.

Prosiding berlangsung selama hampir sejam bermula pada jam 9.10 pagi dengan setiap tertuduh dibawa masuk seorang demi seorang (kecuali Kadir dan Lating) ke dalam kandang tertuduh di bawah pengawalan ketat empat anggota polis sebelum pertuduhan dibacakan.


Hubungi Kedutaan Filipina

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang memulakan prosiding memberitahu mahkamah tertuduh dipakaikan jaket khas dan bergari sebagai langkah keselamatan.

Ravinthran bertanya kepada Abdul Gani sama ada pihak pendakwaan akan terus mengambil pengakuan semua tertuduh atau menunggu sehingga peguam dilantik, memandangkan kesalahan membawa hukuman berat.

Abdul Gani berkata, pihaknya memohon maaf kerana tidak dapat menyediakan peguam atas faktor keselamatan dan percaya semua pihak perlu menunggu sehingga tertuduh diwakili peguam.

“Saya percaya atas dasar hak asasi, mereka sepatutnya diwakili peguam. Saya sudah menghubungi Persatuan Peguam Sabah (SLA) bagaimana untuk menolong tertuduh melantik peguam.

“Atas tanggungjawab sebagai anggota negara ASEAN, saya juga akan menghubungi pihak Kedutaan Filipina,” katanya.

Ravinthran kemudian mengarahkan jurubahahasa menjelaskan kepada setiap tertuduh oleh kerana mereka belum diwakili peguam, mahkamah hanya merekodkan pertuduhan tanpa mengambil pengakuan mereka.

Jurubahasa turut diarahkan menjelaskan kepada tertuduh yang menghadapi hukuman gantung bahawa mahkamah akan melantik peguam jika mereka atau pihak kedutaan tidak menyediakan peguam.

Selepas pertuduhan dibacakan kepada semua tertuduh, Ravinthran menetapkan 12 April depan bagi sebutan kes untuk membolehkan mereka melantik peguam.

Pendakwaan turut diwakili Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Datuk Nordin Hassan serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

No comments:

Post a Comment