Tuesday, March 12, 2013

Di Sebalik Badi / Kenan dan Cara Merawat



Badi merupakan suatu penyakit yang mempunyai hubungan khusus dengan spiritual dan roh manusia. Kesan daripada penyakit ini akan menyebabkan seseorang itu hilang kestabilan diri, perasaan yang tidak menentu dan berubah-ubah, rasa lemah, takut, fikiran bercelaru, tidak dapat tidur dan sebagainya yang membawa kepada perubahan tingkahlaku dan perwatakan seseorang.

Antara jenis badi adalah seperti badi mayat dan badi binatang buas seperti badi ayam hutan, rusa, pelanduk, ular dan lain-lain.

Badi mayat misalnya dihadapi apabila seseorang itu melihat mayat dijalan raya akibat kemalangan jalan raya, mengiringi dan memandikan jenazah, memangku mayat orang yang membunuh diri dan lain-lain yang berkait dengan mayat manusia.

Manakala badi binatang buas sebagai contohnya, ketika seseorang itu pergi berburu dan telah menembak mati seekor ayam hutan di bertenggek di atas sebuah banggol tanah. Apabila pulang berlaku perubahan tingkah laku dan dia berkelakuan seperti ayam, berkokok, mematuk-matuk dan sebagai. Itulah adalah dinamakan sebagai terkena badi ayam hutan tersebut.

Situasi ini terjadi kerana kita selaku manusia tidak mampu untuk melihat jin tetapi apa yang dilihat oleh kita adalah rupa bentuk zahir sahaja sama ada binatang dan sebagainya. Ini dibuktikan melalui firman Allah s.w.t dalam surah al-A‘raf ayat 27)


إِنَّهُ يَرَاكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لا تَرَوْنَهُمْ إِنَّا جَعَلْنَا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ لِلَّذِينَ لا يُؤْمِنُونَ

Terjemahan:

"Sesungguhnya dia (jin) dan pengikutnya-pengikutnya melihat kamu, dari satu tempat yang kamu tidak berupaya melihat mereka. Kami telah jadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin bagi orang yang tidak beriman."

Walaupun demikian, jin mempunyai keupayaan untuk menjelma diri berupa manusia, binatang berkaki empat, ular, kala jengking dan burung. Kebanyakan jin akan menjelma sebagai anjing hitam atau kucing hitam. Warna hitam memperlihatkan kekuatan syaitan dan kekuatan membakar.
Dengan sebab itulah, Rasulullah s.a.w melarang kita daripada membunuh ular yang berada di dalam rumah. Bahkan, kita disarankan agar terlebih dahulu memberi amaran terhadap ular tersebut sebanyak tiga kali agar meninggalkan rumah kita, atau tidak ular tersebut akan dibunuh kerana kemungkinan ular itu adalah jelmaan jin ataupun syaitan. 

أَبَا سَعِيدٍ الْخُدْرِيَّ يَقُولُ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ الْهَوَامَّ مِنْ الْجِنِّ فَمَنْ رَأَى فِي بَيْتِهِ شَيْئًا فَلْيُحَرِّجْ عَلَيْهِ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ فَإِنْ عَادَ فَلْيَقْتُلْهُ فَإِنَّهُ شَيْطَانٌ

Terjemahan:

Abi Sa‘id al-Khudri berkata: "Rasulullah s.a.w bersabda; "Sesungguhnya ular itu adalah daripada jin, maka barang siapa melihat dia di dalam rumahnya, ia hendaklah menyuruh keluar tiga kali, sekiranya ia datang lagi, maka dia hendaklah membunuhnya, kerana ia adalah syaitan."[1]



KAEDAH RAWATAN ISLAM DALAM MERAWAT BADI

Sebagai satu kaedah bagi mengelakkan daripada terkena badi adalah dengan berdoa memohon perlindungan daripada Allah daripada sebarang gangguan makhluk halus. Antaranya melalui bacaan ayat-ayat di bawah yang dilakukan dengan membacanya mengadap kiblat memohon perlindungan Allah. Tiupkan pada tangan dan sapu diseluruh badan termasuk muka, tangan dan kaki.


Seseorang yang terkena badi, boleh dirawat dengan kombinasi ayat dan doa-doa di bawah;


1. Surah al-Fatihah 

2. Ayat Qursi (Surah al-Baqarah 2: 255) (Dibaca dengan bacaan wakaf sembilan) 


3. Tiga Ayat Mu'wwizat (Surah al-Ikhlas, Surah Al-Falaq dan Surah al-Nas) 

4. Ayat Penggerak 

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِىْ لَايَضُرُّ مَعَ اسْمِهٖ شَىْءٌ فِى الْأَرْضِ وَلَا فِى السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ

Terjemahan: Dengan nama Allah, yang tidak memberikan mudarat sesuatu di bumi juga di langit dan Dia maha mendengar lagi maha mengetahui.

1. Doa Badi

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ لِلْمَرِيضِ" بِسْمِ اللَّهِ تُرْبَةُ أَرْضِنَا بِرِيقَةِ بَعْضِنَا يُشْفَى سَقِيمُنَا بِإِذْنِ رَبِّنَا"

Terjemahan: "Daripada 'Aishah r.ah, bahawasanya Nabi s.a.w pernah berdoa kepada pesakit (dengan doa): " بِسْمِ اللَّهِ تُرْبَةُ أَرْضِنَا بِرِيقَةِ بَعْضِنَا يُشْفَى سَقِيمُنَا بِإِذْنِ رَبِّنَا" "Dengan nama Allah debu bumi kita dengan air liur sebahagian daripada kita, semoga sembuhlah dengannya pesakit kami dengan keizinan Tuhan kita."[2]

Tambahan:

Ketika membaca doa badi di atas, letakkan tangan ke bumi (tanah) sambil membacanya, angkat dan sapu pada muka pesakit yang terkena badi tersebut.

Jika rawatan masih kurang berkesan, boleh ditambah dengan kombinasi Doa Menghindar Syaitan dan Selawat Tafrijiyyah 

No comments:

Post a Comment