Tuesday, March 12, 2013

Jel 30 tahun


Oleh Yusri Abdul Malek, Mohd Razlan Salleh, Mohaamad Hafiz Nawawi, Fardy Bungga dan Erdiehazzuan Ab Wahid

Lahad Datu: Seramai 97 suspek yang ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan terbabit dalam kegiatan keganasan.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 130(c) Kanun Keseksaan dibaca bersama Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi tujuan mengawal ketenteraman awam yang ditimbulkan keganasan, sabotaj dan pengintipan. “Mengikut Seksyen 130(c) Kanun Keseksaan, mereka yang ditahan boleh didakwa kerana terbabit dalam kegiatan keganasan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 30 tahun dan denda,” Menurutnya, enam lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu ditahan semalam menjadikan jumlah penahanan kini 97 orang sejak operasi pada 1 Mac lalu hingga semalam.


Selain itu, Hamza berkata, jumlah mereka ditahan kerana kesalahan memasuki kawasan operasi pasukan keselamatan yang menjadi kawasan larangan kepada orang ramai serta penduduk atau zon merah di sekitar Kampung Tanduo dan Kampung Tanjung Batu sejak 1 Mac lalu meningkat kepada 122 orang berbanding 66 orang sebelum ini.

Sementara itu, Hamza sekali lagi menafikan dakwaan media Filipina kononnya pasukan keselamatan mengasari masyarakat dari Filipina bertaraf pelarian dan pendatang asing tanpa izin.


“Polis tidak menerima laporan daripada mana-mana pihak sama ada mereka yang mendakwa menjadi mangsa penderaan atau pihak ketiga mewakili kepentingan masyarakat berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.


Sebelum ini, akhbar The Philippine Daily Inquirer melaporkan kononnya ribuan masyarakat Filipina di Sabah melarikan diri pulang ke negara mereka bimbang menjadi mangsa penderaan polis berikutan disyaki terbabit dengan krisis pencerobohan pengganas Sulu di sini.

No comments:

Post a Comment