Tuesday, March 12, 2013

Rakam mayat pengganas


Lahad Datu: Polis membenarkan media merakam gambar mayat pengganas Sulu yang sudah dibawa keluar dari kawasan pertempuran bagi menepis dakwaan pihak tertentu yang mempersoalkan jumlah pengganas yang terbunuh.

Ketika mengumumkan Kampung Tanduo kini bersih daripada pengganas semalam, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pasukan keselamatan mengeluarkan 22 mayat pengganas Sulu dari tiga lokasi pertempuran iaitu dua kampung di Felda Sahabat 18 Lahad Datu dan di Kampung Simunul, Semporna.


“Empat mayat dikeluarkan dari Kampung Simunul, Semporna manakala 16 dari Kampung Tanjung Batu dan dua lagi di Kampung Tanduo, Felda Sahabat 18. “Mayat berkenaan dibawa ke Hospital Lahad Datu dan Tawau untuk bedah siasat oleh unit forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Media juga dibenarkan untuk merakam gambar semua mayat itu bagi membuktikan kepada semua pihak bahawa memang ada pengganas di kawasan operasi,” katanya pada sidang media di sini semalam, yang turut dihadiri Panglima Divisyen Pertama Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Mohd Zaki Moktar.


Menurutnya, pasukan keselamatan menghadapi kesukaran mengeluarkan mayat dari Kampung Tanjung Batu dan Tanduo berikutan masih ada saki baki pengganas Sulu bersembunyi di lokasi tertentu di kawasan itu.


“Sembilan mayat pengganas yang yang ditembak pada 1 Mac dan dijumpai ditanam dalam lubang besar di Kampung Tanduo Rabu lalu, tidak dibawa keluar kerana sudah reput,” katanya.

Sepanjang Op Daulat yang dijalankan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejak minggu lalu, pasukan keselamatan mengesahkan 54 pengganas terbunuh termasuk seorang mati ditembak dalam pertempuran sengit di Kampung Tanjung Batu antara jam 8 malam hingga 4 pagi kelmarin, yang turut menyebabkan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera.


Menurutnya, Op Daulat kini berada dalam peringkat akhir pengawasan dan pasukan keselamatan kini memberi tumpuan menggeledah dan membersihkan Kampung Tanjung Batu dan Sungai Bilis.

“Saya mahu menyatakan di sini bahawa kawasan pendaratan kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo kini bersih daripada kumpulan berkenaan.


“Pasukan keselamatan kini memberi tumpuan membanteras penceroboh di luar kampung berkenaan,” katanya Menurutnya, walaupun pasukan keselamatan tidak akan mengumumkan bila Op Daulat akan ditamatkan kerana ia penting bagi memastikan kawasan operasi benar-benar selamat, namun operasi memburu dan menggeledah bakal berakhir.


Beliau berkata, sebaik ia berakhir, penduduk kampung yang kini ditempatkan sementara di pusat pemindahan, akan dibenar pulang ke rumah masing-masing dalam masa terdekat.


“Namun, semuanya bergantung kepada siasatan dan selepas diyakini selamat,” katanya.


Berikutan Op Daulat, lebih 2,900 penduduk dari beberapa kampung dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Embara Budi, Fajar Harapan dan Cenderawasih di Felda Sahabat.


Sehingga semalam, menurut Hamza, 97 orang disyaki mempunyai kaitan dengan pengganas Sulu, ditahan sejak 1 Mac lalu.


Hamza berkata, jumlah mereka ditahan kerana memasuki kawasan operasi pasukan keselamatan zon merah sejak 1 Mac lalu, meningkat kepada 122 orang.

No comments:

Post a Comment