Penduduk Iwaki di wilayah Fukushima, Jepun, bertafakur sejenak dengan berdiri berdepan laut mengingati gempa bumi disusuli kerosakan loji nuklear di kawasan mereka dua tahun lalu. - Foto REUTERS
Tokyo: Beratus-ratus penduduk Fukushima yang terselamat dalam krisis nuklear di Jepun, memfailkan tindakan saman secara beramai-ramai bagi menuntut pampasan selepas kampung halaman mereka dicemari bahan radioaktif.
Kira-kira 800 plaintif memfailkan kes di Mahkamah Daerah Fukushima menuntut 50,000 yen sebulan (RM1,560) dari kerajaan dan Tokyo Electric Power Co (TEPCO) sehingga kawasan terbabit pulih, menurut kenyataan peguam mereka.
Kebanyakan plaintif adalah penduduk Fukushima termasuk beberapa penduduk dari wilayah berjiran, kata peguam terbabit.
Melalui kes ini, kami tuntut pampasan untuk penduduk wilayah ini seperti sebelum bahan radioaktif mencemarkannya dan menuntut pampasan bagi penderitaan dari segi psikologi sehingga ia selesai, kata kenyataan terbabit.
Kes berkenaan difailkan ketika Jepun menyambut ulang tahun kedua gempa bumi magnitud 9.0 pada 11 Mac 2011, yang menyebabkan tsunami gergasi melanda sepanjang pantai Pasifik.
19,000 penduduk terbunuh
Bencana alam terbabit membunuh hampir 19,000 penduduk termasuk mangsa yang mayatnya belum lagi ditemui.
Gelombang besar berkenaan melumpuhkan reaktor loji nuklear Fukushima Daiichi yang kemudian melebur dan meletup menyebarkan radioaktif ke kawasan sekeliling.
Kemalangan loji Fukushima terbabit memaksa beribu-ribu penduduk berhampiran kawasan itu meninggalkan rumah dan pekerjaan mereka di lokasi yang teruk tercemar. Tidak dapat diketahui dengan pasti bila mereka dapat kembali semula ke rumah.
Menggunakan kes ini, kami akan jelaskan tanggungjawab TEPCO yang menjadi penyebab kemalangan dan kerajaan yang mengabaikan untuk mengambil langkah keselamatan sewajarnya serta menggalakkan kuasa nuklear sebagai satu dasar rasmi, menurut kenyataan plaintif.
AFP
No comments:
Post a Comment