PETALING JAYA, 13 MAC : Isu keselamatan negara merupakan fokus utama yang perlu diberikan penekanan oleh kerajaan dan bukannya serangan berterusan mengaitkan pimpinan politik terutama dari Pakatan Rakyat(PR), ujar Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.
Perkara ini ditegaskan Azmin yang mendakwa situasi ini merupakan percubaan terdesak pihak tertentu untuk mengalihkan pandangan berhubung soal keselamatan negara.
Katanya, cubaan mengaitkan pimpinan Pakatan Rakyat terutama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan perkara yang berlarutan sejak 15 tahun dahulu dan beliau tidak terkejut mengenai perkara ini.
“Perhatian ini kita berikan secara serius kerana kita menghidu ada usaha pimpinan politik cuba mengalihkan pandangan rakyat dari isu keselamatan kepada isu lain. Cuba menutup kelemahan mereka(kerajaan) mengatasi masalah di Lahad Datu.
“Ini bukan perkara baru, sudah hampir 15 tahun perkara melibatkan negara dibebankan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Maka kita minta rakyat bangkit menyatakan pendirian mereka dan meminta kerajaan persekutuan tidak bermain politik tetapi menumpukan segala usaha kepada mengatasi masalah keelamatan rakyat di Sabah khususnya dalam konteks hari ini,” katanya pada satu sidang media di Ibu pejabat PKR.
Berhubung dakwaan yang mengaitkan bekas Gabenor Mindanao, Nor Misuari dengan Anwar Ibrahim, Azmin menjelaskan Anwar sebelum ini telah menyatakan pendirian berhubung perkara berkenaan.
Katanya, semua pimpinan kerajaan dan pembangkang pernah bertemu dengan Misuari tanpa perlu menafikan perkara berkenaan.
No comments:
Post a Comment