PETALING JAYA 13 MAC: Kerajaan Umno perlu memohon maaf kepada rakyat dan keluarga anggota keselamatan yang gugur akibat kegagalan menangani pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.
Tuntutan itu dibuat bekas Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid.
“Saya menjemput rakyat, tak kira apa bangsa, agama, fahaman, mana parti yang disokong untuk sama-sama bangkit dan menggesa kerajaan mengaku akauntabiliti ke atas kegagalan dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.
Ghafir berkata, kerajaan tidak konsisten menangani isu pencerobohan itu dan hanya mengambil tindakan selepas 23 hari.
“Tindakan kerajaan tidak konsisten. Apabila tindakan lambat, mereka (penceroboh) telah ‘bekerja’. Dari kumpulan kecil menjadi besar. Kesalahan ini mesti diakui (kerajaan),” tegasnya.
Polis dan tentera Malaysia melancarkan Ops Daulat pada 2 Mac lalu untuk menamatkan pencerobohan kumpulan bersenjata dari Sulu, Filipina yang menduduki Kampung Tanduo, Lahad Datu bermula 12 Februari lalu.
Beberapa siri pertempuran sepanjang operasi itu berlangsung mengakibatkan 10 anggota keselamatan negara terkorban sehingga ke hari ini.
Hadir sama sidang media, Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar.
No comments:
Post a Comment