KUALA LUMPUR 13 MAC: Pasukan keselamatan negara gagal menyelesaikan konflik di Lahad Datu, Sabah dalam masa singkat ekoran campur tangan politik kerajaan BN, kata mantan Timbalan Panglima Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral (B) Datuk Ghafir Abdul Hamid.
Beliau menganggap Ops Daulat secara keseluruhan gagal menentang penceroboh kerana tumpuan operasi terganggu dengan matlamat politik.
“Terlalu banyak objektif politik, (contohnya) nak ‘tangkap’ Datuk Seri Anwar Ibrahim. Isu politik yang dibawa menyebabkan tentera tidak jelas dengan objektif operasi mereka.
“Jadi saya rasa (ia punca) operasi keselamatan ‘gagal sepenuhnya’ sejak hari pertama,” katanya pada Forum ‘Solidariti Lahad Datu’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) malam tadi.
Beliau merujuk tuduhan media kawalan Umno BN mengaitkan Ketua Umum KEADILAN itu dengan pencerobohan pengganas Sulu, di Sabah.
Ops Daulat dilancarkan polis dan tentera Malaysia pada 2 Mac lalu untuk menamatkan pencerobohan kumpulan bersenjata dari Sulu, Filipina yang menduduki Kampung Tanduo, Lahad Datu bermula 12 Februari lalu.
Beberapa siri pertempuran sepanjang operasi itu berlangsung mengakibatkan 10 anggota keselamatan negara terkorban dan 57 penceroboh terbunuh sehingga ke hari ini.
Dalam pada itu, Ghafir yakin isu keganasan tentera kesultanan Sulu di Lahad Datu tidak akan berpanjangan, sehingga menyebabkan pilihan raya umum ditangguh.
Katanya, sejumlah 200 pengganas Sulu tidak akan dapat menandingi kekuatan pasukan keselamatan negara.
“Ia tidak akan jadi operasi yang berpanjangan dan menjejaskan PRU.
“Pilihan raya patut diteruskan. Tiba masa itu, tentera dan polis sudah (berjaya) laksanakan misi mereka,” kata Ghafir.
Sambung beliau, tentera Malaysia berpotensi untuk menjadi pasukan keselamatan terbaik di di Asia Tenggara jika setiap peruntukan digunakan dengan telus.
“Saya dah cakap berulang kali mengenai peruntukan yang banyak hilang di tengah jalan. Kalau kita guna dengan efektif, kita boleh jadi tentera paling canggih di rantau ini.
“(Tetapi) saya tak nak ulas panjang. Anda boleh pergi ke Kementerian Pertahanan dan tanya Ketua Setiausaha sendiri,” sinisnya.
Forum anjuran Akademi Pak Sako itu dimudahcara Exco Pemuda KEADILAN, Dr Afif Bahardin.
Panelis lain terlibat adalah Ketua Pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing.
No comments:
Post a Comment