Tuesday, April 23, 2013

185 maut pertempuran di Nigeria



BAGA, Nigeria 22 April - Sekurang-kurangnya 185 orang terbunuh dalam pertempuran antara pasukan tentera dan kumpulan pelampau Boko Haram di sebuah kawasan nelayan di timur laut Nigeria, kata pegawai tempatan, semalam.
Kumpulan Boko Haram menggunakan pelancar bom tangan, manakala tentera Nigeria membalas dengan tembakan mesingan dalam kejadian yang berlaku di kawasan perumahan yang padat dengan penduduk.
''Pihak berkuasa telah menemui dan mengkebumikan sebanyak 185 mayat setakat petang semalam,'' kata, Lawan Kole, seorang pegawai kerajaan tempatan di Baga.
Beliau berkata demikian kepada pegawai kerajaan negeri Borno, Kashim Shettima dalam bahasa Kanuri, bahasa percakapan di timur laut Nigeria dengan nada terputus-putus bersama penduduk lain yang ketakutan.
Pegawai kerajaan juga tidak mampu mengesahkan jumlah penduduk, tentera dan militan yang terkorban dalam serangan itu.
Menurut penduduk, kebanyakan mayat sukar dikenal pasti akibat rentung dalam kebakaran yang memusnahkan keseluruhan bandar tersebut.
Pertempuran itu bermula pada Jumaat lalu dan berlaku selama beberapa jam, sekali gus memaksa penduduk melarikan diri ke dalam belukar sekitar Tasik Chad.
Hingga semalam, barulah pegawai kerajaan berasa selamat untuk melihat kesan kemusnahan membabitkan kediaman, premis perniagaan dan kenderaan yang dibakar di sekitar kawasan pertempuran.
Insiden itu menjadi petunjuk kepada peningkatan pemberontakan yang telah berlanjutan sejak sekian lama di utara Nigeria oleh kumpulan pemberontak Boko Haram yang semakin tersusun ke atas tentera negara ini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130423/lu_06/185-maut-pertempuran-di-Nigeria#ixzz2REsdPx17
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment