Musharraf tidak akan didakwa
Musharraf tiba di Mahkamah Antikeganasan di Islamabad, Sabtu lalu.
ISLAMABAD - Kerajaan sementara Pakistan, semalam memutuskan untuk tidak mendakwa bekas Presiden Pervez Musharraf atas tuduhan melakukan khianat semasa negara itu berada di bawah pemerintahannya pada 2007.

Dipetik AP, Peguam Negara, Irfan Qadir berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan kandungan Perlembagaan yang menyebut hanya kerajaan mempunyai kuasa untuk mendakwa beliau.

"Petisyen yang difailkan beberapa peguam terhadap Musharraf yang dituduh khianat selepas mengisytiharkan darurat pada masa itu melangkaui Perlembagaan," katanya.

Jumaat lalu, Musharraf diletakkan di bawah tahanan rumah selama dua hari selepas beliau menyerah diri kepada mahkamah.

Sehari sebelum itu, mahkamah mengarahkan beliau ditahan berhubung tindakannya memecat beberapa hakim kanan kira-kira enam tahun lalu.

Bekas pemerintah tentera itu kembali ke Pakistan, bulan lalu untuk bertanding dalam pilihan raya pada bulan depan selepas beliau hidup dalam buangan selama empat tahun.

Musharraf meletak jawatan pada 18 Ogos 2008 semasa negara tersebut dilanda kemelut politik yang meruncing dan beliau juga didakwa terlibat dalam insiden pembunuhan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto pada 2007.