Tuesday, April 23, 2013

Permohonan Yazid Sufaat, dua lain ketepi tuduhan galak keganasan didengar 6 Mei



KUALA LUMPUR 22 April - Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 6 Mei ini untuk mendengar permohonan bekas tahanan Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA), Yazid Sufaat dan dua yang lain bagi mengetepikan pertuduhan menggalakkan keganasan untuk memajukan ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria, tahun lalu.
Hakim Kamardin Hashim menetapkan tarikh tersebut hari ini selepas peguam, Amer Hamzah Arsyad yang mewakili Yazid memaklumkan, pihaknya baru menerima tiga afidavit daripada pihak pendakwaan dan difahamkan dua lagi afidavit akan diserahkan kepada pihaknya dalam masa tersekat.
Prosiding hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pendengaran permohonan tersebut.
Menurut Amer Hamzah, pihaknya memerlukan sedikit masa untuk meneliti kesemua afidavit tersebut sebelum menyediakan afidavit jawapan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria turut mengesahkan perkara itu dan menganggarkan 80 peratus dokumen telah diserahkan kepada pihak pemohon.
Menurut beliau, pihaknya juga bersetuju mengadakan pertemuan dengan pihak pemohon pada 30 April ini bagi memuktamadkan isu-isu yang dibincangkan selain senarai saksi yang akan dipanggil.
Amer Hamzah ketika ditemui di luar mahkamah menyatakan, pihaknya pada Selasa lalu telah memfailkan permohonan untuk mengetepikan pertuduhan terhadap ketiga-tiga tertuduh kerana menyifatkan pertuduhan ke atas mereka tidak sah dan mala fide (berniat jahat).
Selain itu katanya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membenarkan sebarang ikat jamin yang digunakan untuk menahan kesemua tertuduh tidak boleh diguna pakai terhadap ketiga-tiga tertuduh.
Yazid, 49, yang merupakan pengusaha kafeteria didakwa menggalakkan keganasan untuk memajukan ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria manakala suri rumah, Halimah Hussein, 52, dan pembantu kafeteria, Muhammad Hilmi Hasim, 33, didakwa bersubahat dengan Yazid melakukan perbuatan tersebut.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di rumah beralamat DL 11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang dekat sini antara pukul 8.30 pagi dan 10.30 pagi, 1 Ogos 2012 dan 20 Oktober 2012.
Pertuduhan terhadap Yazid dikemukakan mengikut Seksyen 130G(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut seksyen yang sama.
Halimah dan Muhammad Hilmi pula didakwa mengikut seksyen tersebut yang dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama kerana bersubahat.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan turut diwakili oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamed dan Mohd. Farizul Hassan.
Peguam bela, Wan Hidayati Nadhirah Wan Ahmad Nasir mewakili Muhammad Hilmi manakala Amer Hamzah mewakili Halimah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20130423/ma_03/Permohonan-Yazid-Sufaat-dua-lain-ketepi-tuduhan-galak-keganasan-didengar-6-Mei#ixzz2REuF3x5I
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment