THE HAGUE, Belanda - Sebuah lagu yang dicipta khas untuk dinyanyikan oleh rakyat negara itu sempena hari pertabalan Raja baharu Belanda telah ditarik balik oleh penerbitnya selepas ia dikritik dan dicemuh hebat di internet.
Lagu berjudul King's Song itu sepatutnya menyatukan seluruh rakyat di Belanda sempena pertabalan raja baharu. Namun, apa yang berlaku ia menyebabkan rakyat berpecah kepada dua pihak iaitu mereka yang menyukai lagu itu dan membencinya.
Satu petisyen dalam talian untuk menentang lagu yang ditulis berdasarkan kepada cadangan daripada orang awam telah ditandatangani oleh lebih daripada 30,000 orang kelmarin.
Lagu tersebut menggabungkan genre rock balada dan rap. Bagaimanapun, lagu itu turut mempunyai peminat tersendiri apabila menduduki tempat pertama dalam carta iTunes Belanda.
Kebanyakan kritikan lebih fokus kepada kualiti lirik lagu tersebut. Kritikan juga mendakwa idea menulis lagu berdasarkan kepada cadangan orang awam adalah satu idea yang teruk.
Produsernya, John Ewbank pada Sabtu menyatakan, dia menarik balik lagu berkenaan kerana dikritik hebat di internet sejak ia dilancarkan secara rasmi pada Jumaat lalu. - AP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0423&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2REk9E8YN
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment