Derita ketumbuhan di hidung
Ahmad Bashah berbual dengan Firdaus ketika melawatnya baru-baru ini.
ALOR SETAR - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya, begitulah penderitaan seorang pemuda yang mengalami ketumbuhan di bahagian hidungnya.

Mohd Firdaus Che Saad, 27, berkata, ketumbuhan bersaiz 3 sentimenter (cm) itu telah menyebabkan dirinya tidak mampu bernafas seperti biasa, sebaliknya perlu melakukannya melalui mulut.
“Pada asalnya, walaupun kerap menjalani selsema dan ia tetap tidak sembuh walaupun telah makan ubat, namun saya ingatkan hanya perkara biasa sehinggalah dikesan mempunyai ketumbuhan di kepala ketika berusia 18 tahun pada 2004.
“Namun, saya telah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di bahagian kepala ketika itu, dan tidak sangka pada 2008 bermulanya ketumbuhan di bahagian hidung hingga saya terpaksa berhenti kerja.

Menurutnya, pada mulanya ketumbuhan pada hidung hanyalah sebesar kacang hijau bagaimanapun semakin membesar hingga matanya tidak lagi mampu melihat.

Ibunya, Rohani Ahmad, 52, berkata,  anaknya perlu menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 23 April ini (hari ini), bagaimanapun dia buntu berikutan tidak mempunyai wang simpanan yang boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan mereka.

Katanya, dia hanya bekerja sebagai pembantu rumah dengan pendapatan sebanyak RM8 sejam, pendapatan pula tidak menentu setiap bulan berikutan pekerjaan yang dilakukannya tidak tetap dan bergantung kepada permintaan sahaja.

"Dalam sebulan pendapatan hanya RM400, saya terpaksa membahagikannya sebaik mungkin kerana perlu menanggung anak-anak perempuan yang masih bersekolah, ditambah pula suami saya, Che Saad Yusof, 55, tidak dapat bekerja kerana hidap penyakit kencing manis.

"Kami juga terima bantuan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada setiap bulan, namun faham-fahamlah zaman sekarang wang sebanyak itu memang tak cukup," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah, ketika ditemui berkata, dia menyarankan supaya keluarga Che Saad menjalani pembedahan terlebih dahulu, dan tidak terlalu memikirkan kos yang perlu ditanggung mereka.

“Saya berharap agar Firdaus menjalani pembedahan secepat mungkin seperti yang telah ditetapkan pihak hospital.
"Namun, jika terdapat sebarang permasalahan boleh menghubungi anak buah saya,” katanya.

Katanya, pihaknya akan berusaha membantu menyelesaikan serta meringankan beban keluarga Mohd Firdaus mengenai perbelanjaan lain, malah akan cuba mengadakan perbincangan dengan pihak berkenaan bagi membantu keluarga ini.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Bank bernombor 0205-0129-8485-29 milik Rohani Ahmad atau boleh mengunjungi Rosnani di alamat D-92, Lorong Pauh, Alor Setar atau menghubungi talian 019-5239792.