KABUL - Sekumpulan 'pengebom nekad' menyamar sebagai tentera bertindak menyerang sebuah mahkamah di tengah bandar Farah, Afghanistan menyebabkan sekurang-kurangnya 46 orang terbunuh kelmarin.

Dipetik Al-Jazeera, Gabenor Farah, Mohammad Akam Khpalwak berkata, letupan berani mati itu dipercayai dilakukan untuk membebaskan kumpulan pejuang Taliban yang dibicarakan di situ.

Menurutnya, anggota penyiasat masih belum mengesahkan sama ada tertuduh telah melarikan diri daripada mahkamah atau sebaliknya.

"Secara keseluruhan, seramai 34 penduduk awam dan 12 pegawai keselamatan terbunuh dalam serangan itu. Kami telah mengenal pasti lapan mayat penyerang dan lebih 100 orang dilaporkan cedera," katanya.

Setakat ini, serangan menggunakan senjata api dilaporkan meningkat sekali gus mencetuskan persoalan sama ada kerajaan Afghanistan mampu untuk melindungi rakyatnya selepas Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mengumumkan akan berundur sepenuhnya pada 2014.

Sementara itu, pihak hospital mengesahkan seorang tahanan dirawat kerana kecederaan parah. -