Friday, April 5, 2013

Wanita rayu suami dibebas


Butterworth: Keluarga Datuk Seri Muhammad Ridhwan Sulaiman, 48, menggesa polis membebaskan Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiyah itu kerana mendakwa beliau tidak terbabit dengan kejadian serangan dan pencerobohan pengganas pengikut Jamalul Kiram di Sabah.
Isterinya, Nur Rina Abdullah, 39, juga memohon Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menunjukkan belas kasihan terhadap nasib suaminya kerana yakin dia tidak bersalah dan tidak terbabit dengan aktiviti menyalahi undang-undang seperti disyaki polis.

Menurutnya, suaminya tidak pernah terbabit dalam apa juga aktiviti menyalahi undang-undang termasuk membiayai pengganas.
Katanya, lawatan suaminya ke Sulu semata-mata untuk perniagaan dan tidak lebih daripada itu.

“Apa yang saya tahu, suami hanya pergi ke Pulau Sulu dua kali untuk mencari peluang pelaburan selepas mengetahui menerusi Internet tempat itu mempunyai banyak kelapa dan harganya sangat murah.

“Suami juga membantu golongan miskin di Sulu kerana ramai daripada mereka hidup daif,” katanya. Nur Rina berkata demikian ketika ditemui di rumahnya di Taman Inderawasih di sini, semalam.
Pasangan itu mempunyai lima anak, dua lelaki dan tiga perempuan berusia antara 22 dan 14 tahun.

Muhammad Ridhwan, seorang mualaf dari Pulau Pinang sebelum ini dikenali sebagai Ravindran Subramaniam Nair.
Dia adalah Presiden Al-Ehsan Islamiah Malaysia dan Presiden Koperasi Al-Ehsan Islamiah Malaysia.

Muhammad Ridhwan ditahan pada Isnin lalu selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya sebelum ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Menurut Nur Rina, suaminya hanya menghantar wang kepada Sultan Sulu Muedzul Lail Kiram dan tidak pernah mempunyai sebarang kaitan dengan Jamalul Kiram III. Katanya, dia memberitahu suami mengenai berita TV3 pada petang Ahad lalu bahawa polis sedang mencarinya berkaitan dengan kejadian serangan di Sabah.

“Suami kemudian memandu dari Alor Star, Kedah dan memberitahu saya bahawa dia akan memandu ke Kuala Lumpur pada pagi keesokan hari untuk menyerah diri.

“Kami mempunyai resit bagi semua transaksi dan tidak ada apa-apa yang mahu disembunyikan kerana kami tidak menyalahi undang-undang,” katanya.

No comments:

Post a Comment