Friday, April 5, 2013

Tok Mon mahu bertanding lagi



TOK MON dipimpin oleh kakitangan SPR selepas mengambil borang penamaan calon di pejabat SPR Kuala Terengganu semalam.


KUALA TERENGGANU – Seorang warga emas, Maimun Jusuh, 94, yang pernah bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada tahun 2008 sekali lagi berhasrat menawarkan diri sebagai calon di Parlimen Kuala Terengganu.
Lebih mesra dengan panggilan Tok Mon, beliau berkata, hasratnya untuk bertanding lagi adalah atas amanah ‘orang lama’ tetapi tidak mengulas lanjut mengenainya.
“Menang (atau) kalah, Tok bertanding sahaja sebab mengingatkan amanah ‘orang lama’,” katanya kepada pemberita ketika datang seorang diri dengan menaiki teksi untuk mengambil borang penamaan calon di pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri di sini semalam.
“Tok nak bertanding banyak kali dah tapi Barisan Nasional (BN) kuat belaka... nak cari pencadang dan penyokong dua orang pun payah (sekarang),” katanya.
Tok Mon berkata, beliau bertanding atas dasar tanggungjawab untuk membela nasib rakyat seperti golongan miskin dan warga emas di Terengganu.
Bagaimanapun, Tok Mon tidak berhasrat menyertai mana-mana parti sekiranya ditakdir memenangi pilihan raya.
Ditanya mengenai modal untuk bertanding, Tok Mon berkata, beliau tidak risau kerana anak-anak buahnya akan membantu.
“Tok ini minta dengan orang. Untuk kempen nanti pandailah Tok buat. Anak tahu Tok bertanding tapi mereka tidak suka Tok habiskan pitih (wang),” katanya.
Mengenai lambang Bebas yang akan digunakan, katanya, SPR tidak membenarkan dia menggunakan simbol istana cadangannya.
“Kita tunggulah keputusan daripada SPR. Tok ada sijil dan diamanahkan pakai logo itu,” katanya sambil mengeluarkan sijil perakuan Civics Course bertarikh tahun 1954 dari beg kanvas berwarna biru.
Pada PRU-12, beliau menggunakan lambang kunci dan bertanding menentang Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail yang mewakili BN serta Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu.
Tok Mon hanya mendapat 685 undi dan hilang wang pertaruhan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0405&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_19.htm#ixzz2PXWiSKqZ 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment