Semakin ramai yang menggunakan pengangkutan awam percuma di Tallinn. Tallinn menjadi bandar pertama di dunia perkenal pengangkutan percuma
TALLINN: Ibu kota Estonia, Tallinn menjadi bandar pertama di dunia memperkenal pengangkutan percuma untuk orang awam.
Syaratnya, seseorang hanya perlu tunjuk kad transit mengesahkannya seorang warga Tallinn.
“Jadi, saya gembira dengan skim pengangkutan percuma. Ini bagus untuk orang awam,” kata warga Tallinn, Mare Tulp.
Pegawai perbandaran menyifatkan skim itu berjaya tiga bulan selepas dilancarkan meskipun pengkritik menganggapnya langkah untuk mendapatkan sokongan menjelang pilihan raya tempatan.
Ilham datuk bandar
Skim pengangkutan percuma itu adalah ilham Datuk Bandar, Edgar Savisaar yang mahu mengurangkan kesesakan dan pencemaran selain meringankan beban penduduk miskin.
Malah, Savisaar menyifatkan program itu sebagai ‘bonus bulan ke-13’ kerana seseorang boleh berjimat sekurang-kurangnya sebulan gaji.
Timbalan Datuk Bandar, Taavi Aas pula berkata, percubaan skim itu yang menelan belanja 12 juta euros (RM48 juta) setahun, melepasi jangkaan.
Bilangan penumpang meningkat 10 peratus manakala bilangan kenderaan menurun sehingga 15 peratus, lapor pihak berkuasa pengangkutan Tallinn.
Satu tinjauan terbaru pihak berkuasa menunjukkan, sembilan daripada 10 penduduk Tallinn puas hati dengan skim itu.
“Ramai yang menggunakan pengangkutan awam lebih kerap pada hujung minggu. Ini bermakna, mereka juga berbelanja yang membantu ekonomi,” kata Aas.
Pada masa sama, pegawai bandar mengakui, masih terlalu awal untuk mendakwa ekonomi ibu kota itu semakin meningkat kerana skim berkenaan.
Tetapi, program itu dijangka meningkatkan hasil cukai kerana orang yang mendaftar untuk layak mendapat pengangkutan percuma juga membayar cukai. - AP
No comments:
Post a Comment