Wednesday, April 24, 2013

Al-Qaeda latih kanak-kanak sebagai pengganas



Gambar diperoleh daripada sedutan video, menunjukkan sebahagian kanak-kanak lelaki sedang menjalani latihan menembak di sebuah kem pengganas di Waziristan Utara, Pakistan. - AGENSI
ISLAMABAD 23 April - Pada usia semuda lima tahun, kanak-kanak sepatutnya meluangkan masa di tadika atau bermain dengan rakan-rakan sebaya dan bergembira bersama keluarga tersayang.
Namun, berbeza kisahnya dengan kanak-kanak di sebuah kem pengganas di Waziristan Utara yang terletak dekat sempadan Pakistan, Afghanistan, apabila sekumpulan kanak-kanak di situ dilatih sebagai pengganas.
Kebanyakan kanak-kanak berkenaan merupakan anak yatim piatu dan mereka dilatih menggunakan raifal AK-47, pistol dan mesingan.
Selain itu, pemikiran mereka turut diracuni dengan ajaran perjuangan menentang Barat dan dilatih menjadi pengebom berani mati.
Pendedahan mengejut itu dibuat berdasarkan rakaman video latihan kanak-kanak terbabit yang disiarkan dalam sebuah laman web kumpulan pengganas al-Qaeda.
Ada pihak mendakwa, kanak-kanak berkenaan yang tidak diketahui asal-usulnya, dilatih untuk berjuang bersama militan Taliban di Afghanistan.
Kumpulan yang melatih kanak-kanak itu dipercayai bertanggungjawab untuk aktiviti keganasan di seluruh dunia sejak 20 tahun lalu.
Kumpulan militan Taliban sering menjadikan kawasan pergunungan di sepanjang sempadan Afghanistan-Pakistan sebagai tempat persembunyian mereka.
Masalah tersebut menyebabkan Pakistan menggesa tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Afghanistan memburu militan di negara itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130424/lu_04/Al-Qaeda-latih-kanak-kanak-sebagai-pengganas#ixzz2RMKJU2vK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment