Wednesday, April 10, 2013

Bangkok terus berunding dengan pemisah



Bangkok: Thailand akan terus mengadakan rundingan damai dengan pemisah selatan negara itu meskipun keganasan meletus lagi.

Selain itu, pihak berkuasa tidak merancang untuk mengkaji semula operasi perisikan, kata Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Kebangsaan (NSC), Lt Gen Paradorn Pattanatabut.

Paradorn memberi reaksi kepada dakwaan ada pegawai menjadi tali barut pemisah dengan mendedahkan maklumat.

Ada penyiasat kerajaan mengesyaki pegawai tertentu memberi maklumat jadual perjalanan gabenor Yala dan timbalannya kepada pemisah.

Gabenor dan timbalannya terbunuh dalam satu serangan bom di daerah Bannang Sata, Yala, Jumaat lalu.

Paradorn berkata, bukti masih diperlukan bagi menyokong tuduhan itu sebelum sebarang kesimpulan boleh dibuat.

Katanya, pihak berkuasa perlu lebih berhati-hati kerana pemisah menyasarkan pegawai kanan meskipun tidak perlu mengkaji prosedur mengumpul maklumat di selatan.
Paradorn berkata, rundingan damai pusingan kedua pada 29 April depan antara delegasi NSC dan wakil Barisan Revolusi Nasional (BRN) akan diteruskan mengikut jadual.

Pada masa ini, rundingan memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan sikap saling mempercayai dan menilai pendirian BRN, katanya.

Dalam keganasan terbaru, rumah Najmuddin Uma, seorang daripada penasihat isu selatan kepada Timbalan Perdana Menteri, Chalerm Yubamrung, diserang dua bom tangan awal pagi kelmarin di daerah Rangae, Narathiwat.
AGENSI

No comments:

Post a Comment