Wednesday, April 10, 2013

Ujian nuklear keempat dikesan



Gabenor wilayah Gyeonggi, Kim Moon-soo (kanan) bersama pegawai-pegawai kanan lain, mencuba topeng semasa satu latihan di dalam sebuah kapal perang tentera laut di Pyeongtaek, Korea Selatan, semalam. - AFP
BEIJING/SEOUL 8 April - Korea Utara didakwa membuat persiapan untuk menjalankan ujian nuklear keempat selepas terdapat aktiviti dikesan di lokasi ujian nuklearnya, lapor sebuah akhbar Korea Selatan, hari ini.
Akhbar JoongAng Ilbo melaporkan pegawai kanan kerajaan berkata, aktiviti di kawasan ujian atom Korea Utara adalah sama seperti sebelum ujian nuklear kali ketiga pada 12 Februari lalu.
''Terdapat aktiviti dan pergerakan terbaharu melibatkan sumber manusia dan kenderaan di terowong selatan di Punggye-ri,'' kata pegawai itu.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, pihaknya tidak terkejut dengan laporan itu kerana sudah bersedia untuk menghadapi ujian nuklear baharu Pyongyang.
"Keadaan masih tidak berubah setakat ini, Kenderaan dan orang ramai masih boleh pergi dan keluar daripada beberapa kemudahan di sekitar lokasi ujian nuklear itu," kata jurucakap kementerian itu, Kim Min-seok dalam satu taklimat.
Pihak media pada minggu lepas melaporkan Pyongyang telah memindahkan peluru berpandu jarak pertengahan, Musudan ke kawasan perairan di timur negara itu.
Spekulasi semakin hangat diperkatakan bahawa Korea Utara mungkin mengambil langkah provokatif pada minggu itu termasuk mengadakan ujian nuklear terbaharu tersebut.
Ujian nuklear Korea Utara pada Februari lalu menyebabkan Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan terhadap Pyongyang. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130409/lu_03/Ujian-nuklear-keempat-dikesan#ixzz2Q4kB1APa
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment