Bangladesh makin tegang, tuntut laksana undang-undang Islam
Puluhan peserta demonstrasi mengalami kecederaan dalam pertempuran di Dhaka, Bangladesh.
DHAKA - Sekurang-kurangnya 14 maut dan berpuluh cedera dalam pertempuran penyokong Hifazat-e-Islam dengan anggota keselamatan di Bangladesh, India.

Media tempatan melaporkan, lebih 10,000 anggota polis dan tentera Pengawal Sempadan Bangladesh terlibat dalam pertempuran itu hingga memaksa mereka melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata.

Menurut laporan tersebut, penunjuk perasaan menuntut penguatkuasaan hukuman mati terhadap pesalah fitnah, menuntut pendidikan agama sebagai mata pelajaran wajib dan kesamaan hak lelaki dan wanita.

“Lebih 50 orang termasuk anggota polis cedera. Demonstrasi sepatutnya dilakukan secara aman itu bertukar ganas apabila mereka bertindak menyerang ibu pejabat pemerintah Parti Liga Awami, membakar lebih 100 kedai termasuk kira-kira 50 kereta di sekitar bandar,” menurut laporan itu.

Penyokong kumpulan terbabit juga menyekat pintu masuk utama ke bandar berkenaan dengan meletakkan palang pengadang.

Sementara itu, Perdana Menteri Sheikh Hasina Wazed berkata, hukuman akan dikenakan terhadap penunjuk perasaan itu dan segala tuntutan mereka akan diteliti sebelum direalisasikan.

“Kerajaan tidak membenarkan sebarang kekecohan atas nama Islam. Keamanan negara ini perlu dijaga," katanya dipetik dari laporan Reuters.