Ali Zidan
Ali Zidan
TRIPOLI - Parlimen Libya, kelmarin meluluskan undang-undang melarang mana-mana pegawai kanan yang pernah berkhidmat semasa era pemerintahan bekas pemimpin, Muammar Gaddafi meneruskan perkhidmatan mereka dalam kerajaan.

Penguatkuasaan Undang-Undang Pengasingan Politik itu bakal menyaksikan pemecatan ramai pemimpin termasuk yang berpaling tadah.

Penggubal undang-undang, Majda al Falah berkata, seramai 164 ahli Parlimen menyokong undang-undang tersebut diluluskan walaupun ada beberapa pihak mendakwa ia dicadangkan atas gesaan Gerakan Ikhwanul Muslimin.

Difahamkan, beberapa draf undang-undang itu telah dibahaskan sejak beberapa bulan lalu dan mereka yang terlibat dilarang untuk menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan untuk tempoh 10 tahun.

Perdana Menteri, Ali Zidan adalah antara pemimpin yang disebut akan berhadapan larangan tersebut walaupun sebelum ini, beliau hanya memegang jawatan sebagai diplomat dan ia dikatakan tidak berada dalam kedudukan 'pegawai kanan', dipetik dari laporan AP.