Tuesday, May 7, 2013

Tentera India, China berundur


NEW DELHI 6 Mei - Tentera India dan China, semalam secara serentak berundur dari sempadan kedua-dua negara itu di Himalaya, sekali gus menamatkan ketegangan selama tiga minggu di kawasan yang menjadi pertikaian dan pernah menjadi lokasi pertempuran antara kedua-dua negara kira-kira 50 tahun lalu.
Pengunduran itu dibuat selepas satu perjanjian dicapai setelah komander sempadan kedua-dua negara mengadakan pertemuan, menurut seorang pegawai India, selepas ketegangan di situ mengancam rancangan lawatan Menteri Luar India ke Beijing, pada Khamis ini.
Namun, masih tidak jelas berapa jauh Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) berundur, tetapi India mendakwa tenteranya telah berundur 19 kilometer dari kawasan yang dianggap menjadi sempadan kepada kedua-dua negara itu, yang dikenali sebagai Garis Kawalan Sebenar (LAC).
Jurucakap Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar India, enggan mengulas tentang laporan itu.
"Tentera kami telah berundur kira-kira satu kilometer daripada kedudukan kami sejak 16 April lalu.
"Tentera China turut berundur dari kedudukan mereka sejak 15 April lalu ketika memasuki wilayah India, tetapi sejauh mana mereka berundur masih belum dapat dipastikan," kata pegawai daripada Pemerintah Utara Tentera India yang memantau wilayah di pinggir Jammu dan Kashmir yang menjadi pertikaian.
India sebelum ini menyifatkan insiden pertikaian itu sebagai yang terburuk dalam tempoh beberapa tahun selepas New Delhi mendakwa tentera China mengganggu wilayahnya di barat Himalaya pada 15 April lalu.
Menurut New Delhi, kira-kira 30 anggota tentera China yang disokong beberapa buah helikopter telah mendirikan khemah berhampiran tapak perkhemahan di Laluan Sutera dikenali sebagai Daulat Beg Oldi, berdekatan kawasan pendaratan udara yang digunakan India untuk menyokong tentera di glasier Siachen. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130507/lu_02/Tentera-India-China-berundur#ixzz2ScBCXvTo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment