ADILA SHARINNI WAHID
7 Mei 2013
KOTA BHARU - Kelancaran perjalanan undi di Kelantan dicemari tindakan sekumpulan penyokong parti politik yang cuba melarikan peti undi ketika perjalanan ke pusat penjumlahan di Tumpat, malam kelmarin.
Bagaimanapun, dengan ketangkasan anggota polis, peti undi berkenaan berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab dalam insiden pada jam 11.30 malam itu.
Ketua Polis negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, rombongan peti undi yang dikawal ketat anggota keselamatan terbabit diserang kumpulan berkenaan tidak jauh dari lokasi yang dituju.
Katanya, serangan itu menyebabkan ketua tempat mengundi dan seorang anggota polis masing-masing berusia 30 tahun mengalami kecederaan.
“Mereka datang menyerang kereta dengan menggunakan objek keras. Mereka begitu agresif dengan memanjat ke atas bumbung kereta dan memecahkan cermin serta merampas kunci.
“Tindakan cekap anggota polis bagaimanapun berjaya menyelamatkan undi-undi terbabit sebelum berkejar dan menyerahkannya ke pusat penjumlahan di Maktab Rendah Sains Mara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, semalam.
Menurutnya, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan dan giat memburu mereka yang terlibat dalam insiden itu.
No comments:
Post a Comment