Sunday, June 9, 2013

Blogger bantah peraturan baharu


Sebuah batu nisan palsu tertera perkataan 'RIP Freedom of Speech' turut ditempatkan di lokasi bantahan, simbolik kepada kebebasan bersuara Internet yang disekat kerajaan di Speakers' Corner, Singapura, semalam. - REUTERS
SINGAPURA 8 Jun - Kira-kira 2,000 rakyat Singapura hari ini mengadakan bantahan terhadap peraturan baharu kerajaan yang mewajibkan beberapa portal berita memiliki lesen berkuatkuasa bulan ini.
Kesemua penunjuk perasaan berkumpul di kawasan bebas bersuara, Speakers' Corner di sebuah taman di sini untuk mendengar ucapan beberapa blogger dan individu lain yang mengutuk dasar baharu kerajaan tersebut.
"Kerajaan perlu mempercayai kami dan berhenti melayan kami seperti bayi.
"Kita perlu berasa malu terhadap masyarakat dunia kerana ketika kerajaan lain sedang berusaha untuk membatalkan kawal selia Internet, Singapura, satu daripada negara terkaya dari segi perkapita sedang cuba bertindak sebaliknya,'' kata Choo Zheng Xi, seorang jurucakap dan pengasas bersama laman web berita popular The Online Citizen.
Bantahan hari ini dianjurkan pakatan penulis blog yang menggelar diri mereka sebagai 'Free My Internet'.
Mengikut peraturan baharu itu, mana-mana laman web yang melaporkan berita dari negara ini dan menarik sekurang-kurangnya 50,000 pengunjung unik dalam tempoh sebulan, diwajibkan untuk mengambil lesen.
Selain itu, pemilik blog dan portal berita perlu memadamkan sebarang artikel yang dianggap menentang kerajaan atas arahan pihak berkuasa dalam tempoh 24 jam.
Blog dan media sosial mula meraih populariti sebagai sumber berita alternatif dan pendapat di Singapura, ketika akhbar utama dianggap sebagai bersikap prokerajaan.
"Kerajaan perlu berhenti berfikir bahawa mereka boleh meluluskan undang-undang yang mereka suka,'' kata seorang peserta, Raymond Kwok, 29.
Demonstrasi hari ini merupakan perhimpunan besar-besaran ketiga yang berlangsung di Speakers' Corner tahun ini.
Kumpulan sama turut menganjurkan 'Internet blackout' kelmarin, dengan menyaksikan lebih 130 penulis blog di negara ini menggantikan laman utama web mereka dengan skrin hitam yang tertera perkataan, '# FreeMyInternet'. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130609/lu_06/Blogger-bantah-peraturan-baharu#ixzz2Vfscf8Zx
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment