Sunday, June 9, 2013

Facebook boleh rosakkan hubungan


NEW YORK 8 Jun - Satu kajian terbaharu mendapati, hubungan perkahwinan dan percintaan boleh terjejas akibat perasaan cemburu yang tercetus daripada aktiviti melayari laman sosial yang berlebihan terutamanya Facebook.
Kajian yang dijalankan oleh Dr. Russell Clayton dari Universiti Missouri itu mendapati, Facebook boleh mencetuskan perasaan cemburu tanpa mengira peringkat umur, sehingga boleh membawa kepada penipuan, perpisahan dan perceraian.
Dr. Clayton berkata, konflik dalam hubungan kebiasaannya timbul apabila laman sosial digunakan secara berlebihan, kerana sesetengah individu yang cemburu akan memantau aktiviti pasangannya.
Jelas beliau, kajian itu dilakukan bagi mengetahui jumlah masa yang dihabiskan oleh pengguna berusia antara 18 tahun hingga 82 tahun untuk melayari Facebook dan jumlah pertelingkahan yang berlaku dengan pasangan mereka akibat aktiviti melayari laman sosial.
"Kajian sebelum ini menunjukkan, pasangan bercinta atau berkahwin yang banyak menggunakan Facebook, sering memantau aktiviti sesama sendiri di laman sosial itu, sehingga boleh menimbulkan rasa cemburu.
"Kajian kami juga mendapati, pengguna Facebook yang tegar lebih cenderung untuk berhubung dengan bekas kekasih, yang boleh membawa kepada penipuan emosi dan fizikal," katanya.
Dr. Clayton dalam pada itu menasihati pasangan bercinta dan berkahwin agar mengurangkan penggunaan Facebook, lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru menjalinkan hubungan kurang daripada tiga tahun kerana aktiviti itu boleh menjadi ancaman kepada hubungan yang masih belum mencapai tahap matang.
"Walaupun Facebook merupakan cara yang baik untuk mengenali seseorang, penggunaan secara melampau boleh merosakkan hubungan yang baru dibina.
"Kurangkan layari Facebook dan penggunaan secara sihat boleh mengurangkan konflik, lebih-lebih lagi kepada pasangan yang baru mengenali antara satu sama lain," katanya. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130609/lu_13/Facebook-boleh-rosakkan-hubungan#ixzz2VfmNsOcq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment