Tuesday, June 18, 2013

Dakwaan Snowden intip untuk China tak berasas


Beijing: China semalam menyifatkan dakwaan bekas kontraktor perisikan Amerika Syarikat yang kini bersembunyi di Hong Kong mengintip untuk Beijing sebagai tidak berasas.

Pihak berkuasa China berkata demikian dalam kenyataan tegas pertamanya berhubung isu Edward Snowden sehari selepas bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Dick Cheney menggelar Snowden ‘pengkhianat; yang mungkin mengintip untuk kerajaan komunis China.


“Saya berpendapat ia tidak berasas sama sekali,” kata jurucakap Kementerian Luar Hua Chunying kepada wartawan apabila ditanya sama ada Snowden mengintip untuk negara itu.

Minggu lalu, Hua berkata, beliau tidak mempunyai maklumat untuk diberitahu mengenai Snowden, bekas kontraktor Agensi Perisikan Kebangsaan Amerika Syarikat (NSA) berusia 29 tahun itu.


Snowden baru-baru ini mendedahkan kegiatan pengintipan besar-besaran oleh NSA menerusi telefon dan sistem komputer di seluruh dunia.


Dia membuat beberapa sidang akhbar sejak tiba di Hong Kong pada 20 Mei, menyatakan keyakinannya terhadap sistem kehakiman bebas di bekas tanah jajahan Britain itu serta berikrar untuk menentang sebarang usaha mengekstradisinya oleh Amerika Syarikat.

Pendedahannya memerangkap syarikat teknologi terkemuka Amerika yang mengaku menyerahkan data kepada Washington, tetapi hanya selepas dipaksa atas arahan mahkamah.

No comments:

Post a Comment