Tuesday, June 18, 2013

Mogok seluruh Turki


Istanbul: Dua kesatuan sekerja terbesar Turki memulakan mogok seluruh negara semalam bagi membantah tindakan keras polis ke atas penunjuk perasaan antikerajaan.

Ia diadakan sehari selepas Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan mempertahankan tindakannya mengusir penunjuk perasaan di Taman Gezi.


Menteri Dalam Negeri Muammer Guler mengecam mogok itu dengan menyifatkannya sebagai haram dan memberi amaran supaya anggota kesatuan tidak berarak di jalan raya ketika kerajaan berusaha menangani kekacauan yang berlarutan sejak tiga minggu lalu.

Polis masih menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah sekumpulan penunjuk perasaan di Istanbul dan di Ankara awal semalam selepas pertempuran hujung minggu yang berpunca daripada pengusiran penunjuk perasaan dari Taman Gezi, pusat gerakan membantah kerajaan Recep.


Hampir 600 orang ditahan dalam kekacauan kelmarin, menurut persatuan peguam di Istanbul dan Ankara.


Kesatuan sekerja KESK dan DISK mewakili ratusan ribu pekerja menggesa diadakan mogok sehari bagi membantah cara polis bertindak menangani tunjuk perasaan. “Tuntutan kami supaya polis menghentikan keganasan serta-merta,” kata jurucakap KESK Baki Cinar.

Menurutnya, kesatuan sekerja itu disertai jurutera, doktor gigi dan doktor.


Keganasan hujung minggu memburukkan krisis yang menjadi ancaman terbesar pernah dihadapi kerajaan Recep.

Berucap pada perhimpunan 100,000 penyokong Parti Keadilan dan Pembangunan yang diketuainya, Perdana Menteri Turki itu menegaskan, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mengarah polis menyerbu Taman Gezi selepas penunjuk perasaan tidak mengendahkan amarannya supaya bersurai.


Kekacauan politik melanda Turki bermula apabila bantahan secara aman untuk menyelamatkan 600 pokok di Taman Gezi daripada ditebang ditangani secara ganas oleh polis pada 31 Mei.


Ia kemudian merebak menjadi tunjuk perasaan menentang Recep.


Empat orang terbunuh sementara hampir 7,500 cedera setakat ini.


KESK dan DISK sebelum ini mengadakan mogok dua hari untuk menyokong penunjuk perasaan itu dua minggu lalu apabila ribuan pekerja berarak di jalan raya. - AFP

No comments:

Post a Comment