Tuesday, June 18, 2013

Larangan pakai hijab: Polis Indonesia tertekan


JAKARTA 17 Jun - Umat Islam dan kumpulan hak asasi manusia menggesa Ketua Polis Nasional Indonesia Jeneral Timur Pradopo membatalkan dekri dibuat pada 2005 yang melarang pegawai wanita dalam pasukan keselamatan itu memakai tudung atau hijab.
Poengky Indiarti, pengarah eksekutif Imparsial, sebuah kumpulan hak asasi manusia, menggesa Timur menyemak semula dekri itu bagi memulihara keadilan dan kebebasan beragama.
"Peluang saksama perlu diberikan kepada semua individu termasuk wanita Islam yang memakai hijab untuk menjadi anggota pasukan polis. Ia adalah diskriminasi sekiranya hanya anggota wanita dalam pasukan polis di Aceh dibenarkan memakai hijab," kata Poengky dipetik berkata demikian oleh akhbar berbahasa Inggeris, The Jakarta Postpada Isnin.
Keputusan yang dibuat oleh Ketua Polis Nasional ketika itu, Jeneral Da'i Bachtiar pada 2005, memerintahkan semua anggota pasukan itu hanya memakai pakaian seragam rasmi dan secara khusus melarang pegawai wanita memakai hijab.
Melanggar larangan itu boleh dipecat.
Bagaimanapun, anggota wanita dalam pasukan polis di Aceh dikecualikan daripada peraturan itu kerana Aceh menguatkuasakan undang-undang kecil 2001 berasaskan syariah yang mewajibkan semua wanita menutup rambut mereka.
Cendekiawan Islam Azyumardi Azra, sementara itu berkata, polis perlu mendukung cogan kata Indonesia iaitu Bhinneka Tunggal Ika (Perpaduan dalam Kepelbagaian) dengan menarik balik larangan memakai hijab itu.
Amidhan Shaberah dari Majlis Ulama Indonesia (MUI) berkata, larangan memakai hijab menunjukkan polis 'sebuah institusi menindas' dan MUI dijangka membincangkan isu itu pada mesyuarat dalamannya dalam waktu terdekat.
Komisi Nasional Hak Asasi Manusia (Komnas HAM) dan Indonesian Police Watch (IPW) turut membantah larangan itu.
"Di Indonesia, banyak institusi membenarkan pekerja mereka memakai hijab. Saya menggesa Komisi Dewan Perwakilan mengenai hal ehwal undang-undang dan Kementerian Pemerkasaan dan Perlindungan Kanak-kanak supaya memansuhkan larangan itu," kata pengerusi IPW Neta S. Pane.
Jurucakap Polis Indonesia, Komisioner Kanan Agus Rianto berkata, bantahan tidak akan mempengaruhi polis untuk menukar polisi mereka dan mereka akan terus mematuhi dekri itu sehingga di dipinda. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130617/lu_09/Larangan-pakai-hijab-Polis-Indonesia-tertekan#ixzz2WZTk8r8t
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment