Tuesday, June 18, 2013

Temui anak selepas 44 tahun terpisah



SETELAH lebih empat dekad terpisah dengan anaknya, seorang ibu, Marie-Jose E berjaya menemui anak lelakinya selepas ujian DNA mengesahkan mereka mempunyai pertalian darah.

“Saya hidup dalam fantasi. Ia sangat menakjubkan. Saya berasa sangat gembira.

“Apabila saya bangun dari tidur, saya beritahu diri sendiri bahawa dia (anak) ada di sana, dia wujud...kemudian, saya takut kehilangan dia,” katanya dengan penuh emosi dalam satu temubual melalui telefon dengan AFP.

Marie-Jose yang kini bekerja sebagai guru berkongsi kisah di sebalik kehilangan anak lelakinya itu.

Menurutnya, ayahnya berbangsa Sepanyol merupakan seorang yang sangat tegas dan apabila mendapati Marie hamil pada usia 22 tahun tanpa berkahwin, Marie dibawa ke Santo Celo.

Marie-Jose kemudiannya melahirkan anak lelaki pada 12 Julai 1969 di situ.

Ayahnya berjanji bahawa dia akan dapat menjaga anaknya itu dan bayi baru lahir itu diserahkan kepada rahib wanita di situ oleh ayahnya tanpa persetujuan Marie-Jose.

“Ia merupakan mimpi ngeri. Saya tak bercakap dengan ayah selepas itu,” katanya.

Ibunya meninggal tiga tahun selepas anaknya diambil akibat barah dan ayahnya pula meninggal dua tahun kemudian.

Marie-Jose dan anaknya salah satu daripada ribuan keluarga yang menjadi mangsa kepada skandal pencurian bayi di Sepanyol.

Marie-Jose yang berkahwin dan mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia 30 tahun tidak pernah berputus asa mencari anak lelaki sulungnya itu.

Sementara, anak lelakinya itu pula menyedari dirinya adalah anak angkat pada usia 14 tahun.

“Tapi, mereka memberitahu dia, ibu bapa kandungnya meninggal dalam kemalangan jalan raya,” kata Marie-Jose.

Anak lelaki Marie-Jose menghubungi persatuan yang berkaitan di Valencia dan padanan antara dia dan Marie-Jose begitu cepat, ditambah dengan ujian DNA yang mengesahkan pertalian darah antara mereka.

“Sejak itu, kami berhubung melalui telefon setiap hari. Dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki berusia lapan tahun. Saya sudah menjadi nenek sekarang.

"Cucu saya memanggil saya yaya (nenek) di telefon. Ia sangat menggembirakan saya,” katanya yang merancang untuk bertemu si anak pada Jumaat ini dan menyambut hari lahir si anak pada 12 Julai ini.

No comments:

Post a Comment