Tuesday, June 18, 2013

Jupe sedekah al-Quran ke 7 masjid


Jakarta: Beberapa artis yang sedang menjalani hukuman penjara sering melakukan ritual khusus selepas dibebaskan.

Antaranya membuang pakaian ke laut, kononnya untuk membuang sial.


Bagaimanapun, selebriti Julia Perez atau lebih dikenali sebagai Jupe enggan menuruti amalan itu.

Penyanyi dangdut dan juga pelakon filem itu sebaliknya memilih untuk menunaikan nazarnya sebaik keluar dari penjara - membahagikan kitab suci al-Quran kepada tujuh masjid.


Jupe mempunyai alasan istimewa untuk berbuat demikian.


“Kenapa tujuh? Kerana tujuh itu angka kesukaan Allah. Langit ada tujuh. Pada saya, ia angka bertuah untuk saya: katanya ketika ditemui di Masjid Baitussalam, Kalimalang, Jakarta Timur, semalam.

Kekasih Gaston Castano itu berkata, dia tidak tertarik untuk mengikuti ritual membuang pakaian ke laut. “Membahagi-bahagikan al-Qur’an lebih berfaedah untuk meraikan pembebasan dari penjara,” katanya. “Ketika menziarah Masjid Nabawi semasa menunaikan umrah, ramai orang membeli al-Quran untuk dibahagi-bahagikan. Saya tanya kenapa hendak dibahagi-bahagikan? Kita akan peroleh pahala jika membeli dan kemudian membahagi-bahagikannya. Apa lagi kalau ramai yang membaca al-Quran yang kita bahagikan itu,” kata Jupe.

No comments:

Post a Comment