Monday, June 10, 2013

JPJ sangkal dakwaan gertak pemandu lori

Keratan
Keratan Sinar Harian 5 Jun lalu.
KUANTAN - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang tidak terlibat secara langsung dalam operasi bersepadu membabitkan beberapa agensi termasuk JPJ Ibu pejabat, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, 29 Mei lalu.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Hashim Mustapha berkata, JPJ Kuantan dan anggota dari Stesen penguatkuasa JPJ Panching hanya sebagai pengendali mesin timbang dan mengeluarkan resit kepada lori yang dikesan membawa muatan berlebihan.

Menurutnya, susulan operasi yang dijalankan awal pagi hari tersebut, pihaknya tidak dapat memberikan gambaran sebenarnya kerana anggotanya hanya mengendali mesin timbang bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.

“Perkara itu dipanjangkan kepada JPJ ibu pejabat untuk maklumat lanjut,” katanya dalam satu kenyataan bagi menjelaskan dakwaan dua pemandu lori yang mendakwa digertak anggota penguatkuasa itu menggunakan senjata api ketika diminta memberhentikan lori bagi tujuan pemeriksaan.

Sinar Harian 5 Jun lalu melaporkan dua pemandu lori tergamam apabila kenderaan mereka dihimpit sebuah kenderaan lain dipercayai dinaiki anggota penguatkuasa sebelum diarahkan berhenti untuk pemeriksaan.

Lebih memeranjatkan apabila kedua-dua pemandu itu mendakwa, anggota penguatkuasa terbabit menggertak mereka menggunakan pistol sebagai tanda amaran berhenti.

No comments:

Post a Comment