Monday, June 10, 2013

Pertempuran di Libya, 28 maut


Penunjuk perasaan berlari menyelamatkan diri semasa berlaku pertempuran dengan kumpulan pemberontak di Benghazi, semalam. Sebanyak 28 orang terbunuh dalam insiden itu. - REUTERS
BENGHAZI 9 Jun - Sekurang-kurangnya 28 orang terbunuh, manakala lebih 60 yang lain cedera apabila kumpulan penunjuk perasaan bertempur dengan kumpulan pemberontak, yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Pelindung Libya', di sini semalam.
Menurut saksi, pertempuran itu berlaku apabila kumpulan penunjuk perasaan menyerang bekas ibu pejabat kumpulan pemberontak, yang menggulingkan pemimpin Libya, Muammar Gaddafi pada 2011.
Pihak berkuasa Libya yang masih belum mewujudkan pasukan keselamatan rasmi selepas kejatuhan Gaddafi sering mendapatkan khidmat kumpulan pemberontak bagi menyelesaikan masalah puak yang berlaku di negara ini.
Jurucakap Pelindung Libya, Adel Tarhuni berkata, seorang daripada anggota kumpulannya maut, manakala tujuh lagi cedera dalam pertempuran tersebut.
"Pada mulanya demonstrasi itu berlangsung dengan aman, namun keadaan bertukar menjadi ganas, apabila kumpulan bersenjata mula melancarkan serangan.
"Mereka turut melemparkan bahan letupan ke arah ibu pejabat kami," katanya.
Serangan itu turut mendapat kecaman daripada pasukan ketenteraan.
Jurucakapnya, Kolonel Ali al-Shikhi berkata, kumpulan Pelindung Libya adalah pasukan keselamatan simpanan negara ini dan mana-mana pihak yang menyerang kumpulan itu boleh diibaratkan seperti menyerang pasukan keselamatan yang sah.
Sehubungan itu, Perdana Menteri Ali Zeidan mengumumkan bahawa satu siasatan khas akan dijalankan bagi menyiasat serangan tersebut dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130610/lu_08/Pertempuran-di-Libya-28-maut#ixzz2VlUo0egu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment