|
KAHERAH - Sekurang-kurangnya 120 penyokong bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Mohamed Morsi terbunuh manakala 1,000 yang lain cedera dalam pertempuran dengan polis di sini pagi semalam, kata para doktor dan pergerakan Islam Ikhwanul Muslimin.
Pemimpin Ikhwanul Muslimin, Murad Ali ketika memberitahu agensi berita AFP mendakwa polis melepaskan tembakan peluru hidup.
Bagaimanapun, agensi berita milik pemerintah, MENA yang memetik seorang pegawai keselamatan menafikan pihak polis menggunakan peluru hidup.
Menurut laporan MENA, pertempuran meletus pada waktu subuh di jalan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah dengan polis melepaskan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan yang membaling batu.
Morsi digulingkan menerusi rampasan kuasa oleh pihak tentera pada 3 Julai lalu.
Sejak itu, beribu-ribu penyokong Ikhwanul Muslimin berkumpul di luar Masjid Rabaa Al-Adawiya di sini bagi menuntut Morsi dilantik semula sebagai presiden.
Dalam pada itu, beribu-ribu penyokong Morsi dan penentang rampasan kuasa turut berhimpun di jalan-jalan di Iskandariah hingga mencetuskan pertempuran sengit dan mengorbankan tujuh orang serta mencederakan 194 yang lain.
Pertumpahan darah berlaku beberapa jam selepas Menteri Dalam Negeri sementara, Mohammed Ibrahim memberi amaran bahawa pihaknya akan segera bertindak menyuraikan kumpulan yang berhimpun di bandar Nasr, Kaherah.
Kekacauan mula timbul apabila pihak berkuasa mendakwa Morsi terlibat dalam kes pembunuhan dan beliau ditahan untuk disoal siasat selama 15 hari.
Menurut MENA, Morsi didakwa merancang pembunuhan sejumlah tahanan, para pegawai dan anggota tentera ketika kebangkitan rakyat Mesir menentang diktator Hosni Mubarak pada tahun 2011.
Pemimpin Islam yang digulingkan itu turut disyaki bekerjasama dengan kumpulan Hamas di Palestin untuk menyerang dan memusnahkan beberapa buah penjara serta melepaskan sejumlah tahanan termasuk dirinya.
Morsi berkemungkinan besar akan dihantar ke penjara Torah yang kini turut dihuni oleh bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.- AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2aIfMhLn2
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment