ISTANBUL - Perdana Menteri Turki, Tayyip Erdogan mengancam untuk menyaman akhbar Times of London kerana menyiarkan satu surat terbuka sekumpulan selebriti dan ahli akademik yang mengkritik cara beliau menangani protes antikerajaan di Turki.
Aktor Sean Penn, Susan Sarandon dan Ben Kingsley merupakan antara selebriti yang menandatangani sekeping surat yang menuduh kerajaan pimpinan Erdogan memerintah secara diktator dan menyebabkan kematian lima orang penunjuk perasaan selepas mereka bertempur dengan polis.
"Times menggunakan ruang dalam akhbar untuk mendapatkan wang. Ini adalah zaman kejatuhan Times. Kami akan meneruskan tindakan undang-undang ke atas Times," kata Erdogan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen NTV.
Erdogan menyifatkan mereka yang menandatangani surat tersebut yang disiarkan dalam satu halaman penuh sebagai tidak menyokong demokrasi sepenuhnya.
"Jika mereka benar-benar percayakan demokrasi, mereka tidak akan menggelar sebuah parti yang memenangi 50 peratus daripada undi rakyat sebagai diktator," tambah Erdogan.
Surat itu juga menuduh Erdogan tidak mengamalkan prinsip kebebasan media kerana telah memenjarakan berpuluh-puluh orang wartawan sejak beberapa tahun lalu. - Reuters
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2aIfsPnCI
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment