Sunday, July 28, 2013

GOLONGAN CENDIKIAWAN ISLAM CADANG JALAN KELUAR KRISIS



Menyedari kemelut politik yang melanda Mesir ketika ini perlu diselesaikan segera, maka beberapa tokoh pemikir dan ulamak Islam kelmarin mengadakan sidang media bagi melontarkan cadangan kepada semua pihak berdasarkan perlembagaan dan undang-undang.

Sidang media yang berlangsung di Darul Hikmah, Kesatuan Perubatan Mesir itu dikendalikan oleh Dr.Salim 'Ewa, bekas calon Presiden Mesir yang juga antara pemikir Islam yang terkenal dan disertai 10 orang ulamak dan pemikir yang lain termasuk Dr.Hasan Syafie (Penasihat Syeikh Azhar), Dr. Tala'at Afifi (bekas Menteri Wakaf) dan Dr.Saifudin Abdul Fatah (bekas Penasihat Presiden Mesir) selain beberapa individu yang tiada kaitan langsung dengan Ikhwan atau mana-mana parti politik.

Dalam kenyataan yang dibacakan kepada wakil media, 'Ewa berharap idea dan cadangan yang dikemukakan itu dapat menghentikan pertumpahan darah serta diterima oleh semua pihak termasuk kerajaan kudeta hari ini.

Cadangan mereka ialah:

1) Mengembalikan semula Presiden Mursi ke jawatannya dan kemudian Mursi perlu menyerahkan sepenuhnya kuasa kepada sebuah kerajaan sementara yang baru berdasarkan fasa (141) dan (142) perlembagaan Mesir pindaan 2012.

2) Kerajaan sementara itu perlu membincangkan perihal Pilihanraya Parlimen pada mesyuarat pertama mereka dalam tempoh 60 hari.

3) Selepas pilihanraya, sebuah kerajaan tetap akan dibentuk.

4) Kemudian, kerajaan baru itu akan mengadakan pilihanraya Presiden berdasarkan perlembagaan.

5) Membuat pindaan kepada perlembagaan.

Sementara itu, pakar perlembagaan Dr.Toriq Bishri berkata, waktu ini tidak ada penyelesaian lain kecuali mengembalikan perlembagaan 2012 yang dimansuhkan oleh tentera pada 3 Julai yang lalu. Beliau yang merupakan anak kepada bekas Syeikh Al-Azhar, Al-Marhum Syeikh Salim Bishri berkata, ia satu-satunya perlembagaan yang terbaik dalam sejarah negara Mesir dan diperakui oleh lebih 60 peratus rakyat dalam pungutan suara.

Seorang lagi tokoh pemikir Islam, Dr.Mohammed 'Imarah yang turut serta dalam cadangan ini berkata, musibah besar bagi tentera Mesir kerana sibuk di lapangan politik berbeza dengan negara-negara maju yang lain. "Anda tahu kenapa Mesir ini mundur, faktornya kerana tentera suka melibatkan diri dalam pertembungan politik."

Ikhwan Muslimin memberikan respon positif terhadap cadangan ini. Cuma, pada saya ia akan disambut dingin oleh kerajaan perampas dan tentera kerana mereka mungkin melakukan apa sahaja kecuali mengembalikan jawatan Presiden kepada Mursi. Pada saya, tentera akan 'membakul sampah'kan cadangan ini kerana mereka mahu lebih banyak darah dari rakyat.

No comments:

Post a Comment