Sunday, July 7, 2013

30 maut


Kaherah: Sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh dalam pertempuran di sekitar Mesir semalam ketika puluhan ribu penyokong Mohamed Mursi turun ke jalan raya membantah rampasan kuasa tentera.

Gabungan kumpulan Islam termasuk Ikhwanul Muslimin berikrar melanjutkan protes aman bagi mendesak tentera mengembalikan jawatan presiden kepada Mohamed Mursi. Di Sinai, kumpulan didakwa penyokong Mohamed Mursi menyerbu ibu pejabat kerajaan tempatan selepas berlaku tembak-menembak.


Saksi berkata, mereka kemudian menaikkan bendera hitam seperti digunakan militan al-Qaeda.

Sekurang-kurangnya 12 terbunuh di Iskandariah ketika penyokong dan penentang Mohamed Mursi bertempur di jalanan.


Sementara itu jurucakap Ban Ki-moon berkata, Setiausaha Agung PBB itu menyeru krisis Mesir diatasi secara aman.


“Tiada tempat untuk mana-mana pihak mengenakan hukuman atau mengecualikan pihak serta komuniti utama bagi mencari penyelesaian,” katanya.

Di Dataran Tahrir sekurang-kurangnya dua orang terbunuh apabila kumpulan didakwa penyokong kedua-dua kumpulan berbalas tembakan. Keganasan mengendur apabila tentera memisahkan penunjuk perasaan menggunakan kenderaan berperisai. Jurucakap tentera berkata, mereka tidak memihak kepada mana-mana kumpulan.


“Misi kami memastikan nyawa penunjuk perasaan selamat,” katanya. Empat lagi penunjuk perasaan maut di luar Ibu Pejabat Pengawal Republik. Saksi berkata, seorang daripada mangsa ditembak di kepala. Di Sinai, lima polis ditembak mati kumpulan bersenjata dan seorang anggota kumpulan Islam pula membunuh seorang tentera dalam serangan membabitkan mesingan dan roket. Bandar El-Arish pula menyaksikan sekurang-kurangnya 16 orang cedera.- AFP

No comments:

Post a Comment