Sunday, July 7, 2013

Snowden: Venezuela tawar suaka politik

CARACAS 6 Julai - Presiden Venezuela, Nicolas Maduro semalam menawarkan untuk memberikan 'suaka politik kemanusiaan' kepada pembocor program perisikan Amerika Syarikat (AS), Edward Snowden.
Sebelum itu, Presiden Nicaragua, Daniel Ortega turut menyatakan 'jika keadaan mengizinkan' negara itu akan memberikan perlindungan politik kepada pelarian AS itu.
Snowden kini berada di kawasan transit di lapangan terbang Moscow sejak hampir dua minggu lalu bagi mengelak dikenakan sebarang tindakan undang-undang.
Dia yang dikehendaki oleh AS kerana mendedahkan program pengintipan negara itu telah memohon suaka politik di 27 negara, tetapi beberapa negara Eropah menolak permohonannya awal minggu ini.
"Sebagai ketua negara republik, saya memutuskan menawarkan suaka politik kemanusiaan kepada Snowden untuk melindunginya daripada tindakan undang-undang yang dibuat empayar paling berkuasa di dunia.
"Kami menawarkan hak kemanusiaan antarabangsa ini untuk melindungi pemuda itu," kata Maduro.
Ortega dalam satu majlis awam pula berkata, negara itu mengamalkan sikap terbuka dan menghormati hak kepada suaka politik dan akan menerima Snowden jika keadaan mengizinkan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130707/lu_08/Snowden-Venezuela-tawar-suaka-politik#ixzz2YKtD6WP5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment