Shamsuri mengubati Ramlah yang mengalami masalah sukar tidur malam pada program rawatan oleh Pusat Rawatan Islam At-Tobibi di Sekolah Agama Rakyat Felda Kerteh 6, petang kelmarin. |
Ramlah bersama kira-kira 200 pesakit lain tidak melepaskan peluang mencuba perawatan Islam itu pada program rawatan kedua di Sekolah Agama Rakyat Felda Kerteh 6 selepas rawatan sama di Masjid Felda Kerteh 6, sebelum ini.
Ramlah yang menderita kerana tidak dapat tidur malam sejak tiga tahun lalu turut lega kerana hasil rawatan dilakukan, perawatnya yang juga Pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi, Shamsuri Safie mengesahkan dirinya diganggu makhluk halus.
Berikutan gangguan itu, Ramlah tidak dapat tidur, selain mengalami kebas tangan dan kaki serta merasakan lehernya berat.
“Waktu sakit sebelum ini, 15 malam berturut-turut saya tidak dapat lelapkan mata. Seramai 12 bomoh saya berubat tapi mungkin sebab tak serasi masalah berlarutan.
“Apabila tak dapat tidur, ketika baring saya rasa macam ada ‘benda’ berbisik di cuping telinga dan ia buat saya benar-benar takut,” katanya.
Ibu kepada lapan anak ini juga bersyukur kerana digerakkan hati untuk berubat secara Islam, seterusnya merungkai pertanyaan yang bermain di benaknya selama ini.
“Apabila diserang sakit sedemikian, saya juga khuatir masalah disebabkan saka atau seumpamanya kerana kita tidak tahu semua itu, tapi alhamdulillah saya hanya mengalami gangguan makhluk halus,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Semai Bakti, Anuar Husain yang bekerjasama menganjurkan program rawatan itu berkata, program sama dirancang akan diadakan selepas Aidilfitri nanti kerana mendapat permintaan penduduk setempat.
Sebelum sesi rawatan bermula, turut diadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan sekolah berkenaan, disertai seramai 48 penduduk setempat.
No comments:
Post a Comment