SNC gagal lantik pemimpin baru
Mesyuarat yang bermula Khamis lalu masih gagal untuk menyatukan kumpulan pembangkang sejak dua bulan lalu.
ISTANBUL - TURKI. Kumpulan pembangkang Syria gagal melantik pemimpin baru mereka ketika mesyuarat yang diadakan di Istanbul, semalam.

Dua calon utama, tokoh puak yang mempunyai kaitan dengan Arab Saudi, Ahmad Jarba dan ahli perniagaan, Mustafa al-Sabbagh dilaporkan tidak berjaya memperoleh sebahagian daripada 115 undi ahli Majlis Kebangsaan Syria (SNC).

Difahamkan, SNC kini terbahagi kepada tiga kuasa pusat termasuk Ikhwanul Muslimin, puak Sabbagh dan blok yang disokong Arab Saudi.

April lalu, George Sabra dilantik sebagai pemangku presiden SNC tidak lama selepas Moaz al-Khatib meletak jawatan. 

Menurut laporan Press TV dalam perkembangan lain, tentera rejim Presiden Bashar al-Assad berjaya melakukan operasi menentang militan Takfiri sejak beberapa minggu lalu.

Awal bulan lalu, mereka turut menguasai semula bandar Qusayr di sempadan Lubnan dalam operasi tersebut selepas didakwa menerima bantuan daripada Hizbullah.