Tentera tembak penyokong Mursi
Ratusan penyokong Mursi cedera di sekitar bandar Mesir.
KAHERAH - MESIR.  Kira-kira 30 terbunuh manakala lebih 300 cedera semalam dalam kejadian keganasan di seluruh Mesir apabila tentera bertindak bertempur dengan penyokong Presiden Mohamed Mursi yang digulingkan tentera.
Agensi berita Mena melaporkan, pertempuran sengit berlaku di ibu negara, Kaherah apabila pasukan keselamatan bertindak menembak mati tiga penyokong pro Mursi di luar Ibu Pejabat Pengawal Republikan, lokasi terakhir Mursi ditahan komando tentera, Khamis lalu.

“Penyokong Mursi bertindak melemparkan mercun apabila kumpulan anti Mursi mula melakukan serangan dengan membaling batu dan botol ke arah mereka,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu lagi, pertempuran sengit juga berlaku di Iskandarian selepas solat Jumaat hingga berlanjutan lewat malam semalam dan menyebabkan lebih 200 cedera.

Di utara Sinai El Arish, lima anggota polis maut apabila seorang lelaki bersenjata melakukan serangan diikuti di bandar selatan Assiut, sekurang-kurangnya seorang lagi meninggal dunia akibat ditembak anggota keselamatan.

“Akibat dari pertempuran itu, tentera mengisytiharkan darurat di Port Said, Suez dan Ismalia bagi mengelakkan lebih banyak kematian dan kecederaan. Angka korban dan cedera dijangka meningkat,” memetik laporan itu.

Seorang penyokong Mursi berkata, mereka tidak menerima dan tidak menyokong kerajaan sementara ini kerana Mursi masih lagi Presiden yang dilantik secara demokrasi.

“Kami mahu syahid! Kami sanggup mandi darah. Mursi perlu dibebaskan! Sekiranya kami mati ianya adalah untuk menegakkan sinar Islam di Mesir kerana kami mahu Hafiz terus memerintah bagi kesejahteraan dunia dan akhirat,” katanya. - Press TV