Monday, December 23, 2013

Danok sasaran baharu?


KERETA dan bangunan musnah selepas letupan bom di hadapan Hotel Oliver dan berdekatan kedai makanan segera di Danok, Thailand, semalam.
SADAO (Selatan Thailand) 22 Dis. - Sebanyak 24 orang cedera dalam salah satu daripada empat kejadian letupan bom yang menggegarkan bandar sempadan Danok dan Padang Besar dekat sini, hari ini.
Bagaimanapun, tiada rakyat Malaysia cedera dalam insiden letupan di kedua-dua bandar kecil yang popular dalam kalangan rakyat negara ini.
"Saya sahkan tiada langsung warga Malaysia cedera dalam letupan itu," kata Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin ketika dihubungi Bernama malam ini.
Media sebelum ini melaporkan dua warga Malaysia merupakan antara lebih 20 orang yang cedera dalam serangan bom di kedua-dua bandar berkenaan.
Insiden yang bermula pukul 10.40 pagi itu (11.40 pagi waktu Malaysia) ini merupakan kali pertama berlaku di Danok dan Padang Besar.
Ketua Polis Wilayah Sembilan Thailand, Mejar Jeneral Noppadol Pueksomon berkata, letupan pertama dilaporkan kira-kira pukul 10.30 pagi di hadapan Balai Polis Padang Besar, diikuti kejadian kedua di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Sadao, kira-kira 20 minit kemudian.
Menurutnya, kejadian ketiga pula berlaku di hadapan Hotel Oliver dan berdekatan sebuah kedai makanan segera di Danok kira-kira pukul 12.45 tengah hari.
"Kejadian pertama dan kedua melibatkan motosikal yang dipasang dengan bom jangka sementara ketiga dan keempat pula, bom dipasang dalam kereta.
"Mangsa yang cedera kebanyakannya berada sekitar Hotel Oliver dan terdiri daripada wanita serta kanak-kanak. Angka sebenar mangsa belum diketahui meskipun banyak kenderaan rosak mempunyai nombor pendaftaran Malaysia," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Noppadol berkata, siasatan awal mendapati, modus operandi kejadian serupa dengan insiden pengeboman di Hotel Lee Garden Hatyai pada 1 April 2012 iaitu bom dipasang dalam kenderaan sebelum diletupkan.
Tambahnya, polis masih menyiasat motif kejadian termasuk kemungkinan serangan pengganas ataupun kaitan dengan perniagaan yang bercanggah dengan undang-undang di kawasan sempadan.
"Polis juga kini meningkatkan keselamatan dengan mewujudkan zon sekatan jalan raya di seluruh empat wilayah sempadan dengan Malaysia," katanya.
Di Malaysia, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin dalam kenyataannya di laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberitahu, berikutan insiden tersebut pihaknya giat memantau perkembangan semasa secara dekat.
"Keadaan semasa di sana adalah terkawal dan langkah-langkah keselamatan dan pencegahan telah diambil termasuk memperketatkan pemeriksaan di pintu masuk sempadan.
"Orang ramai tidak perlu bimbang namun perlu lebih berhati-hati jika mempunyai urusan di kawasan berkenaan," katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd. Faizal Razali ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan kemungkinan terdapat rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam kejadian tersebut.
Dalam pada itu, di pekan Padang Besar, Perlis, orang ramai yang sedang membeli belah cemas apabila letupan tersebut turut menggegarkan bazar membeli belah dan kawasan sekitarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131223/lu_01/Danok-sasaran-baharu#ixzz2oHqXGsDK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment