Monday, December 23, 2013

Machar mengaku ketuai pemberontakan


Sebahagian penduduk, tiba di sebuah kem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas meninggalkan kawasan konflik untuk berlindung di Juba, Sudan Selatan pada 20 Disember lalu. - AFP
JUBA 22 Dis. - Bekas Timbalan Presiden Sudan Selatan, Riek Machar mengesahkan bahawa beliau mengetuai pemberontakan dan mendakwa telah menguasai negeri Unity yang merupakan pengeluar minyak utama di negara ini.
Saluran BBC yang memetik Machar hari ini melaporkan, beliau bersedia untuk berunding dengan kerajaan jika semua pegawainya yang ditahan, dibebas dan dibenarkan transit ke negara-negara lain seperti Ethiopia.
Beberapa bekas menteri ditahan serta-merta oleh pihak berkuasa selepas pertempuran berdarah membabitkan penyokong Presiden Sudan Selatan, Salva Kiir dan penyokong Machar berlaku, di negara ini pada minggu lalu.
Sehubungan itu, Machar bersembunyi di sebuah lokasi rahsia, namun beliau sebenarnya dipercayai masih berada di negara ini.
Kiir turut melahirkan persetujuan untuk mengadakan perbincangan dengan Machar, selain beberapa pemimpin dunia menggesa agar keganasan di negara ini dihentikan segera.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon mendesak kedua-dua pemimpin itu mencari jalan penyelesaian bagi mengelakkan negara ini terjerumus ke dalam kancah peperangan.
"Saya meminta agar semua pemimpin politik, tentera dan militia bergabung untuk menghentikan keganasan yang berlaku.
"Kesemua pihak perlu bekerjasama untuk kepentingan rakyat Sudan Selatan," katanya.
Sebelum itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran tentang cubaan rampasan kuasa oleh tentera di negara ini.
"AS tidak akan menyokong sebarang usaha untuk melakukan rampasan kuasa di Sudan Selatan," ujarnya. - AFP/DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131223/lu_07/Machar-mengaku-ketuai-pemberontakan#ixzz2oHsscItc
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment