Monday, December 23, 2013

Jahit mulut sendiri tanda protes


Rome: Empat warga Afrika Utara yang ditahan di sebuah pusat tahanan pendatang asing di Rome menjahit bibir masing-masing kerana membantah penahanan mereka.

Lelaki berusia antara 20 dan 40 tahun itu menggunakan benang daripada selimut dan jarum kecil untuk menjahit mulut mereka di pusat tahanan Ponte Galeria kelmarin.

Pusat tahanan berkenaan yang dikawal rapi menempatkan ratusan pendatang asing sementara menunggu proses untuk menghantar mereka pulang.

“Tindakan mereka mendorong kami mengkaji semula layanan yang diberikan kepada pendatang asing yang datang ke negara ini kerana melarikan diri daripada peperangan, keganasan dan kemiskinan di negara mereka,” kata datuk bandar Rome Ignazio Marino.

Lebih 33,000 pendatang mendarat di pantai Itali sejak hujung Oktober lalu, hampir tiga kali ganda berbanding jumlah yang tiba sepanjang 2012.

Sebahagian besar mereka berasal dari negara Afrika.



Tetapi kini, jumlah yang tiba dari Syria juga meningkat.

Dalam kejadian paling buruk Oktober lalu, sebuah bot yang sesak dengan pendatang terbakar dan karam berhampiran pantai Lampedusa, menyebabkan 366 orang mati.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/12/23

No comments:

Post a Comment