Monday, December 23, 2013

Protes besar-besaran di Bangkok


Sekumpulan penunjuk perasaan berdepan dengan anggota polis antirusuhan yang berkawal di depan kediaman Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra di Bangkok, semalam. - AFP
BANGKOK 22 Dis. - Kira-kira 110,000 penunjuk perasaan antikerajaan hari ini kembali mengadakan demonstrasi di sekitar ibu negara, sehari selepas parti pembangkang menyatakan akan memulaukan pilihan raya umum pada 2 Februari ini.
Perhimpunan diketuai pemimpin kumpulan penunjuk perasaan Suthep Thaugsuban itu, diadakan di tujuh lokasi utama di ibu negara termasuk ribuan yang berarak ke kediaman Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra di sini.
Kumpulan penunjuk perasaan terutamanya wanita itu berkumpul di luar rumah Yingluck yang dikawal ketat oleh polis, namun Perdana Menteri Thailand itu kini berada di luar ibu negeri atas tugas-tugas rasmi.
Lain-lain lokasi perhimpunan adalah di persimpangan Asoke, persimpangan Ratchaprasong, Pusat Seni dan Budaya, Taman Lumpini dan Monumen Demokrasi di Ratchadamnoen Avenue, Monumen Kemenangan.
Suthep yang memimpin kumpulan penunjuk perasaan dikenali sebagai Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat mengetuai sejumlah besar penunjuk perasaan di Wong Wien Yai, di bahagian barat Bangkok.
Bilangan penunjuk perasaan juga dijangka bertambah malam ini kerana kumpulan tersebut merancang untuk menghalang laluan ke Stadium Thai-Jepun di Din Daeng, lokasi penamaan calon mula diadakan esok.
Menurut pemimpin penunjuk perasaan, Satit Wongnongtaey, kumpulan antikerajaan dari Monumen Kemenangan akan berarak ke stadium berkenaan bagi menghalang calon pilihan raya menghantar borang penamaan calon mereka.
Proses penamaan calon akan berakhir pada hari Jumaat ini.
Perhimpunan besar-besaran itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas di sekitar Bangkok.
Terdahulu, Yingluck semalam memperkenalkan satu rangka kerja untuk reformasi nasional sejajar dengan pilihan raya umum yang memerlukan semua parti politik menerima proses perubahan selepas pilihan raya tersebut.
Bagaimanapun, pengkritik daripada Parti Demokrat menyifatkan rangka kerja itu sebagai rancangan untuk cuba mengurangkan penglibatan orang ramai dalam demonstrasi antikerajaan di Bangkok hari ini.
Dalam rangka kerja anjuran Yingluck itu, semua parti perlu berikrar kerajaan baharu akan berkuasa selama dua tahun sahaja bagi memastikan pelaksanaan proses reformasi. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131223/lu_02/Protes-besar-besaran-di-Bangkok#ixzz2oHqlf9MD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment