KUCHING - "Saya sama sekali tidak menduga penghijrahan kembali mereka enam sekeluarga ke tanah air selepas beberapa tahun di Kazakhstan rupanya 'hijrah' mereka yang kekal di alam baqa."
Demikian luahan pilu Dayang Noriah Abang Anuar, 72, sebaik menerima perkhabaran anaknya, Ariza Ghazalee, 46, menantunya Tambi Jiee, 49, bersama keempat-empat anak mereka, Muhammad Afif, 19, Muhammad Afzal, 19, Marsha Azmeena, 15, dan Muhammad Afruz, 13, yang menjadi penumpang pesawat MH17 yang terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia kelmarin.
Dengan genangan air mata, warga emas itu memberitahu, keluarga anaknya itu sedang dalam perjalanan pulang ke Malaysia selepas lebih tiga tahun berada di luar negara.
Ujarnya, Ariza mengikuti suami yang bertugas dengan sebuah syarikat milik Shell di Kazakhstan dan baru sahaja mendapat kebenaran untuk berpindah tempat kerja dari Kazakhstan ke Kuala Lumpur.
"Menantu saya (Tambi) dijangka melaporkan diri bertugas di ibu pejabat Shell di Kuala Lumpur pada 1 Ogos depan," katanya ketika ditemui di rumah anak sulungnya di Jalan Sultan Tengah di sini semalam.
Ariza yang merupakan anak kedua daripada lima beradik bekerja sebagai jurutera di Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan mengambil cuti tanpa gaji untuk mengikut suaminya.
Dayang Noriah dalam nada tersekat-sekat berkata, anaknya begitu ceria hendak menyambut lebaran di tanah air malah sudah menempah baju warna sedondon putih.
"Sebelum kembali semula ke ibu negara, mereka sekeluarga merancang untuk bercuti raya di Kuching dan menggunakan baju raya sedondon berwarna putih untuk hari lebaran nanti.
"Nampaknya, hasrat kami sekeluarga meraikan Aidilfitri bersama tahun ini tidak kesampaian selepas insiden yang mengejutkan ini," katanya yang terlalu sebak dan terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarga termasuk sanak-saudara yang memenuhi kediamannya.
Mengulas lanjut, Dayang Noriah memberitahu, mereka sekeluarga mendapat pengesahan mengenai anaknya sekeluarga menjadi penumpang MH17 kira-kira pukul 4.30 pagi semalam.
"Sebaik terima pengesahan, hati saya begitu sedih selepas menyaksikan video cebisan pesawat berselerak yang disiarkan di kaca televisyen," katanya.
Dalam pada itu, Mardiah Jiee, 56, yang merupakan kakak kepada Allahyarham Tambi pula memberitahu, kali terakhir dia bertemu dengan keluarga adiknya adalah pada sambutan Aidilfitri tahun lalu.
"Kami reda dengan ketentuan ini," katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0719&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm#ixzz37rf2sV9s
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment