KIEV, Ukraine 18 Julai - Ukraine menuduh Rusia dan kumpulan pemberontak pro-Rusia di negara ini terbabit dalam tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 ditembak jatuh di timur negara ini ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Ketua keselamatan Ukraine, Valentyn Nalivaychenko berkata, dakwaan tersebut dikemukakan berdasarkan perbualan telefon antara dua pegawai risikan Rusia yang berjaya dipintas oleh pihaknya.
Kini anda tahu siapa yang melakukan jenayah ini (tembak pesawat MH17). Kami akan melakukan segala yang perlu untuk memastikan tentera Rusia yang melakukan jenayah ini dihukum, katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu, Presiden Ukraine, Petro Poroshenko berkata, tentera negara ini tidak terlibat dalam kejadian tersebut.
Kami tidak menolak kemungkinan pesawat itu, ditembak jatuh dan menegaskan bahawa Angkatan Tentera Ukraine tidak melakukan apa-apa tindakan untuk menyerang sasaran di udara.
Kami akan membawa mereka yang bertanggungjawab atas tragedi itu ke muka pengadilan," katanya dalam laman web rasminya.
Laman web itu menyebut tragedi tersebut merupakan insiden ketiga selepas pesawat Angkatan Tentera Ukraine jenis AN-26 dan SU-25 ditembak jatuh di wilayah Rusia.
Di MOSCOW, Presiden Rusia, Vladimir Putin menyalahkan Ukraine berhubung tragedi pesawat MH17 dan menegaskan tragedi itu tidak akan berlaku jika perjanjian damai berjaya dicapai di wilayah bergolak berkenaan.
Portal berita Mail Online melaporkan, kejadian itu boleh dielakkan jika perdamaian dicapai di sana dan tiada tindakan ketenteraan diperbaharui di timur Ukraine.
Sudah pasti, negara di mana berlakunya tragedi itu bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku, katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan kumpulan pemberontak pro-Rusia bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17.
- Reuters/Bernama
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140719/dn_05/Ukraine-Rusia-tuduh-menuduh#ixzz37raNCJkw
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment