Saturday, July 19, 2014

Laluan MH17 diisytihar selamat


SEPANG - Pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 menggunakan laluan merentasi Ukraine yang sedang bergolak ekoran laluan itu diisytihar selamat dan diluluskan oleh badan-badan penerbangan antarabangsa.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sehingga nahas pesawat itu berlaku, pihaknya tidak menerima apa-apa notis supaya tidak menggunakan laluan tersebut.
"Kami telah menggunakan laluan ini banyak kali. Malah 15 daripada 16 syarikat penerbangan di Asia Pasifik menggunakan laluan ini. Syarikat penerbangan Eropah pun menggunakan laluan ini," kata beliau pada sidang akhbar di Hotel Sama-Sama di sini semalam.
Menurut beliau, MAS akan memutuskan untuk menggunakan laluan lain jika Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) menutup laluan itu.
Di Singapura, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) berkata, pesawat MAS semasa kejadian terbang di ruang udara tanpa sekatan.
Dalam satu kenyataan dari Geneva, IATA menyatakan: "Berdasarkan maklumat semasa yang diperoleh, adalah dipercayai ruang udara yang direntasi pesawat itu tidak tertakluk kepada sekatan."
Bagaimanapun, di Sydney, Australia, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa lain termasuk syarikat penerbangan Australia, Qantas Airways, syarikat penerbangan Jerman, Air Berlin dan dua syarikat penerbangan Korea Selatan menukar laluan penerbangan mereka dengan tidak melalui ruang udara Ukraine.
Syarikat-syarikat penerbangan tersebut bertindak demikian sebagai langkah keselamatan walaupun tiada arahan rasmi untuk mengelak ruang udara tersebut oleh pihak berkuasa penerbangan.
Seorang jurucakap syarikat penerbangan Korea Selatan, Asiana Airlines memberitahu Reuters, syarikat penerbangannya tidak melalui ruang udara Ukraine demi keselamatan walaupun terpaksa menanggung kos lebih tinggi dan menempuh penerbangan lebih jauh.
"Syarikat kami melencongkan haluan pesawat kargo sehingga sejauh 150 kilometer dari ruang udara Ukraine sejak 3 Mac lalu ekoran konflik tercetus di semenanjung Crimea di negara itu," kata jurucakap itu.
Syarikat Qantas Airways pula melencongkan laluan pesawat dari London ke Dubai sejauh 740 kilometer dari selatan Ukraine sejak beberapa bulan lalu.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) pula dilaporkan telah mengeluarkan arahan melarang pesawat negara itu melalui ruang udara di wilayah Crimea, Laut Hitam dan Laut Azov di Ukraine.
Arahan tersebut dikatakan berkuat kuasa sehingga 27 April tahun depan.
Bagaimanapun, data daripada laman web Flightradar24 menunjukkan beberapa pesawat lain turut berada di ruang udara Ukraine ketika pesawat MH17 ditembak jatuh dipercayai menggunakan peluru berpandu.
Sebuah pesawat Singapura Airlines dan Air India dilihat hanya berada kira-kira 24 kilometer dari pesawat MH17 semasa kejadian.
Seorang pakar siasatan kemalangan dan keselamatan Universiti CQ di Australia, Geoff Dell berkata, mana-mana pesawat sepatutnya tidak dibenarkan melalui atau menghampiri kawasan konflik seperti di Ukraine.
"Sekiranya perang tercetus atau konflik, anda sepatutnya mengubah haluan supaya tidak menghampiri kawasan bahaya tersebut," katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0719&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz37reP1gF1 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment